Cari @ Amanz

Oppo Pad Neo tiba di Malaysia baru-baru ini bersama-sama dengan siri telefon pintar Oppo Reno 11. Semua peranti terbaru keluaran Oppo kali ini pastinya hadir dengan jaminan spesifikasi dan prestasi yang telah dipertingkatkan daripada keluaran sebelum ini termasuklah peranti jenis tablet keluaran mereka. Justeru itu dalam artikel ulasan kali ini, pengalaman penggunaannya akan saya kongsikan.

SPESIFIKASI

Oppo Pad Neo
Skrin11.4″ , IPS LCD, 90Hz , 2.4K
PemprosesMediaTek Helio G99 (6nm)
Cip2 X 2.2 GHz Cortex-A766 X 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM6/8GB
Muatan Dalaman128 GB UFS 2.2
Kamera Utama8MP, f/2.0 Sudut Lebar
Kamera Swafoto8MP f/2.0
Bateri8000 mAh Pengecasan berwayar 33W SUPERVOOC
SIM/TelefoniNano/4G
NFCTiada
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas wajah
Harga JualanRM 1199 (6/128 GB) Wi-Fi
RM 1399 (8/128 GB) LTE


SKRIN

Saiz Skrin adalah sebesar 11.4″ yang memadai untuk pelbagai kegunaan pada sebuah tablet. Skrin ReadFit dengan nisbah 7:5 ini juga adalah memiliki kadar segar semula yang boleh mencapai sehingga 90Hz dengan panel IPS LCD yang masih dapat mengesan sentuhan jari pada skrin dengan baik. Ciri berkenaan menjadikan paparan peranti masih saja lancar dalam penggunaan kebanyakan aplikasi. Pad Neo ini juga tidak disertakan bersama stylus dan hanya menyokong sentuhan jari pada skrin.

Apa yang menarik pada skrin Pad Neo ini adalah skrinnya hadir dengan penyediaan resolusi 2.4K yang menakjubkan dengan jaminan paparan yang jelas serta pengalaman menonton yang mengujakan. Kemudian, ciri ReadFit dengan nisbah 7:5 pada Pad Neo ini dikatakan oleh Oppo mampu melindungi mata dengan ciri lampu biru yang rendah bagi memastikan keselesaan mata.

Bukan itu sahaja, terdapat juga ciri pelarasan suhu warna pintar pada peranti yang bertindak sebagai penderia suhu warna skrin khususnya pada mod waktu tidur serta mengikut keadaan persekitaran. Ia sekaligus dapat memberikan pengalaman penggunaan yang lebih selesa pada mata dan waktu tidur yang lena.

Menurut Oppo, skrin Pad Neo ini juga bebas kelipan dan saya dapat mengesahkan bahawa perkara tersebut bukan hanya sekadar janji manis. Saya rasakan ciri keselesaan pada mata adalah salah satu daripada perkara penting yang ingin ditekankan oleh Oppo pada tablet ini.


REKAAN

Melihat kepada rekaan tubuh Oppo Pad Neo, apa yang boleh saya kata ketika pertama kali melihatnya ialah keterujaan kerana ia nipis. Sungguhpun nipis ia adalah agak berat melebihi 500 gram. Sebuah iPad Pro 11 dan iPad Air adalah lebih ringan berbanding Pad Neo. Bagi mereka yang memegang tablet untuk menonton video, berat tablet ini boleh melenguhkan tangan selepas digunakan untuk tempoh yang lama.

Bahagian tubuh belakang Oppo Pad Neo terdiri daripada panel logam yang dipadankan dengan jalur di bahagian atas mengelilingi lensa kamera. Gabungan kedua-dua jenis binaan tersebut menjadikan tablet ini tampak berkilat dengan gabungan warna Space Grey yang memberikan kesan anggun dan bergaya.

Bukan itu saja, peranti juga terasa sangat kukuh. Saya cuba menekan beberapa kali tubuh belakang peranti dan cuba melenturkannya tetapi ia langsung tidak membengkok. Panel belakang juga agak kesat yang menjadikan tablet ini tidak terasa licin membuatkan saya lebih yakin untuk menggunakannya walaupun dengan hanya sebelah tangan. Terdapat juga kerangka luar untuk tablet cuma perlu dibeli berasingan untuk perlindungan tubuh yang lebih baik.

Pada bahagian atasnya pula terdapat butang kuasa dan slot untuk kad SIM dan memori bersama dengan dua speaker audio. Kemudian butang laras suara pula diletakkan di bahagian kanan peranti serta lubang pengecasan USB-C pula di bahagian bawah turut diapit dengan lubang speaker audio dan juga penjenamaan Dolby Atmos. Pada bahagian hadapan pula terdapat satu lubang kecil di bahagian atas skrin untuk kamera hadapan. Pada hemat saya, secara keseluruhannya rekaan peranti adalah kurang menarik tetapi agak tahan lasak.


PENGGUNAAN DAN PERISIAN

Oppo Pad Neo menggunakan sistem operasi ColorOs berasaskan kepada Android 13. Antara ciri khusus yang terdapat pada tablet ini ialah gerakan tiga jari ke bawah untuk melakukan tangkapan layar dan juga dua jari yang digerakkan dari atas ke bawah untuk melancarkan mod ‘Split View’. Bukan itu saja, mod Floating Window juga tersedia yang membolehkan 3 aplikasi dipaparkan dan dijalankan secara serentak cuma ia hanya boleh dilakukan pada paparan landskap dan kemudian baru boleh diubah semula kepada paparan potret.

Berkenaan dengan isi prestasi pula, saya berhadapan dengan beberapa masalah lengah masa yang boleh saya katakan agak ketara ketika saya menggunakan tablet ini untuk menyunting video TikTok ringkas di aplikasi Capcut. Proses menyunting video berdurasi hanya 1 minit itu sedikit mengecewakan kerana masalah lengah masa yang agak ketara ketika proses suntingan sedang dilakukan.

Pengalaman memainkan permua pada peranti pula tidak terlalu mengecewakan ditambah pula dengan paparan skrin besar yang menjadikan grafik permua dapat dilihat dengan lebih jelas berbanding dengan telefon pintar. Walau bagaimanapun, kepuasan memainkan permua pada resolusi sederhana saja memuaskan, namun dengan tetapan resolusi tinggi pula wujud ralat dari segi lengah masa.

Aplikasi kegunaan harian lain saya tidak mengalami sebarang isu prestasi sepanjang tempoh ulasan. Aplikasi-aplikasi yang saya mahukan boleh dimuat turun daripada Play Store dan dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Terdapat juga ciri penambahan memori maya sehingga 8GB RAM iaitu dengan pilihan 4GB, 6GB dan 8GB.


PENANDA ARAS

Markah untuk ujian penanda aras dengan menggunakan Geekbench 6, 3DMark Wildlife dan AnTuTu 3D turut saya sertakan disini. Menerusi keputusan ujian yang ditunjukkan, dapat dilihat dengan jelas bahawa Cip MediaTek Helio G99 bukan sebuah cip yang terbaik untuk sebuah tablet dalam pasaran semasa. Walaupun begitu, kesemua aplikasi popular dapat dimuat turun tanpa sebarang masalah serta pengalaman penggunaan juga berada pada tahap yang memuaskan. Namun seperti yang telah saya ulas, kemampuan menjalankan aplikasi suntingan seperti Capcut adalah sedikit mengecewakan.

Saya membandingkan Oppo Pad Neo ini dengan Realme Pad 2 dan Tecno Pova 5 4G kerana ketiga-tiga peranti ini menggunakan jenis cip pemproses MediaTek Helio G99 yang sama.

Antutu 3D Benchmark

  • Oppo Pad Neo – 395,231
  • Realme Pad 2 – N/A
  • Tecno Pova 5 4G – 406,217

Geekbench6

  • Oppo Pad Neo – 640/1816
  • Realme Pad 2 – 723/1967
  • Tecno Pova 5 4G – 737/2005

WildLife Extreme

  • Oppo Pad Neo – 1330
  • Realme Pad 2 – 1354
  • Tecno Pova 5 4G – 1263

TELEFONI

Oppo Pad Neo sekadar menyokong rangkaian 4G sahaja di Malaysia dengan kelajuan internet yang juga memuaskan sepanjang tempoh penggunaan. Tiada masalah rangkaian yang mudah terputus atau sambungan internet yang tidak stabil.


KAMERA

Kamera belakang dan hadapan peranti ini pula didatangkan dengan sensor 8MP yang membuatkan hasil tangkapan gambarnya kurang memuaskan. Gambar yang diambil dalam keadaan pencahayaan terang juga masih tidak tajam dengan warna yang sedikit pudar. Begitu juga gambar mod malam yang lebih mengecewakan kerana hasilnya gelap dengan masalah hingar yang agak ketara.

Bagi kamera swafotonya pula berada pada tahap sekadar melengkapi ciri asas sebuah kamera tablet. Apa yang pasti, pencahayaan yang baik sangat diperlukan untuk hasil gambar yang memuaskan. Ini kerana, dalam pencahayaan yang gelap hasil gambar adalah mengecewakan. Tapi pada pandangan saya, kekurangan yang ada pada kualiti kamera tablet ini bukanlah sesuatu yang patut terlalu diberi penekanan, cukup memadai jika ia dapat mengambil gambar dengan kejelasan yang baik tanpa memerlukan kualiti kamera yang terlalu tinggi.

Ini kerana berbalik pada kegunaan biasa sebuah tablet yang biasanya digunakan hanya sebagai peranti kedua untuk tujuan belajar dan melakukan kerja-kerja ringan dengan penyediaan yang lebih besar daripada sebuah telefon pintar.


BATERI

Seterusnya beralih pula pada bahagian baterinya yang didatangkan dengan kapasiti 8000mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 33W SUPERVOOC yang disertakan bersama di dalam kotak.  Kapasiti bateri peranti adalah cukup besar untuk bertahan sepanjang hari tambahan pula ia adalah kapasiti bateri pada sebuah tablet. Pada kebiasaannya dalam penggunaan harian, bateri 8000mAh untuk tablet sudah sangat mencukupi. Bahkan saya pernah menonton video pada tablet lebih dari 2 jam secara berterusan dan peratusan baterinya masih lagi boleh bertahan lama.


AUDIO

Tablet keluaran Oppo ini juga dibekalkan dengan empat speaker yang sistem audionya menyokong Dolby Atmos, sekaligus menghasilkan bunyi audio yang jelas. Dalam erti kata mudah, sistem audio pada peranti tidaklah mengecewakan. Pengalaman mendengar muzik pada peranti adalah sangat menyeronokkan meskipun saya tidak mengenakan fon telinga nirwayar. Mendengar muzik dan menonton filem dengan audio yang diperdengarkan secara terus daripada speaker peranti tetap saja jelas, lantang dan tiada isu bunyi pecah mahupun terlalu perlahan.


DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak :

  • 1x Oppo Pad Neo
  • 1x Kabel Pengecas USB-A ke USB-C
  • 1x Pengecas 33W
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Oppo Pad Neo adalah sebuah tablet yang memuaskan untuk menonton video, melakukan kerja dan melancarkan pelbagai aplikasi media sosial. Tetapi ia dijual pada harga yang mungkin sedikit mahal daripada yang saya jangkakan. Prestasinya tidak setanding harga kerana cip pemproses MediaTek Helio G99 yang kurang berkuasa untuk melakukan suntingan video atau permua pada tetapan lebih tinggi. Bagi anda yang berminat Oppo Pad Neo dijual pada harga RM1199 (6/128GB) bagi versi WiFi dan RM1399(8/128GB) untuk versi LTE.

PRO

  • Skrin dengan pelarasan suhu warna pintar
  • Saiz tubuh yang tidak terlalu besar & tidak pula terlalu kecil
  • Kapasiti bateri 8000 mAh

KONTRA

  • Rekaan tubuh bahagian belakang yang kurang menarik
  • Harga tidak setanding prestasi
  • Tiada sokongan stylus.


© 2024 Amanz Media Sdn Bhd