Cari @ Amanz

Tune Protect Life hari ini telah memperkenalkan FLEXIOne. Ia adalah pelan insurans yang mencadangkan pelan berbeza kepada pelanggan menggunakan kecerdasan buatan serta turut mempunyai bantuan oleh pembantu maya mirip manusia. Pelan ini dikatakan menyasarkan golongan milenial dan generasi-Z.

FLEXIOne menawarkan perlindungan untuk perubatan, nyawa dan sakit tenat. Pelan ini membenarkan pelanggan campur dan padan perlindungan yang dimahukan. Tracy iaitu pembantu maya mirip manusia turut akan membantu pelanggan memilih pelan terbaik. Ciri Plan Recommender turut disediakan, di mana ia menggunakan kecerdasan buatan untuk mencadangkan pelan kepada pengguna. Dalam cubaan saya, pelan paling murah adalah RM5 sebulan, pelan AI cadangkan RM40 sebulan dan pelan paling mahal RM93 sebulan.

Tune Protect Life menjanjikan sekitar 3 minit untuk sebut harga akhir diberikan kepada pengguna selepas mengisi semua borang dan menjawab soalan. Pelanggan turut boleh mengubah pelan pada bila-bila masa dan boleh menikmati perlindungan berbeza setiap bulan. Jika anda adalah pengguna Yoodo, pemilihan pelan FLEXIOne ini adalah lebih kurang sama cuma ia tiada aplikasi dan bergantung pada web.

Sempena pengenalan FLEXIOne, Tune Protect Life menawarkan langganan percuma dua bulan untuk pelan berharga RM300. Kemudian jika pelanggan menyarankan orang lain, mereka akan memberikan RM20 setiap yang berjaya mendaftar. Tune Protect turut menjamin yang maklum balas oleh wakil mereka akan diterima dalam masa tiga jam dan tuntutan boleh didapatkan dalam masa tiga hari.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd