Pelbagai syarikat pengilang cip pemprosesan seperti TSMC, Samsung, SK Hynix, Micron dan sebagainya dilihat sudah mula menguji teknologi pengilangan cip semikonduktor terbaru mereka, dan Intel juga tidak ketinggalan dalam melakukan perkara yang sama.
Terkini, di acara World Economic Forum di Davos, Switzerland, Pat Gelsinger, CEO Intel telah mengesahkan bahawa kilang akan datang mereka di Magdeburg, Jerman bukan sahaja akan membangunkan cip semikonduktor menggunakan proses pasca-18A yang terbaru, tetapi juga akan menjadi pengeluar cip semikonduktor Intel yang paling maju di dunia.
“Kilang Intel di Magdeburg bukan sahaja akan menjadi kilang pengeluaran semikonduktor Intel yang paling maju di Eropah, tetapi di dunia juga apabila ia siap dibina dengan teknologi pengeluaran cip semikonduktor seperti proses 1.5mm.” ucap Pat Gelsinger.

Proses 18A buat masa ini ialah proses pengeluaran cip semikonduktor Intel <2.0nm, jadi untuk kilang Magdeburg tersebut, ia dijangka bahawa ia akan sekurang-kurangnya hadir dengan kebolehan untuk mengilang cip semikonduktor dengan proses 1.5nm.
Intel juga dijangka akan memperlihatkan peta hala tuju untuk pembangunan teknologi pengeluaran cip semikonduktor mereka pada penghujung bulan Februari 2024, dan ini akan memperlihatkan butiran mengenai proses akan datang seperti 16A dan 14A dan juga kilang-kilang manakah yang akan mula menggunakan teknologi ini untuk membangunkan cip-cip pemprosesan Intel akan datang dan juga para pelanggan Intel Foundry.
Kilang Intel Magdeburg dijangka akan beroperasi sekitar pertengahan atau penghujung 2027 kelak.