Carian
Beta Terbuka NVIDIA RTX Remix Membolehkan Permainan Video Lama Diolah Dengan Visual Moden
January 23, 2024 Effi Saharudin

Minggu lalu The Last of Us 2 Remastered dilancarkan untuk PS5 dan ia dicemuh oleh komuniti kerana tiada peningkatan tahap grafik berbanding versi PS4. Ada yang mengatakan label “remastered” yang digunakan ialah suatu pembohongan. Dengan permainan video sudah wujud lebih 50 tahun, pasti terdapat ribuan permainan video lama yang ingin diolah semula oleh peminat. Semalam NVIDIA mengumumkan ujian terbuka untuk perisian RTX Remix yang membolehkan permainan lama diolah semula dengan visual moden.

RTX Remix memberikan kuasa di tangan komuniti “modding” untuk mengubah permainan video lama dengan menambah ciri moden seperti raytracing, bump mapping, tekstur resolusi tinggi dan sistem cahaya yang lebih realistik. Aset dalam permainan lama boleh diganti dengan aset dengan jumlah poligon lebih tinggi. Menggunakan AI, tekstur yang realistik dan memantul cahaya dengan betul turut boleh dihasilkan sendiri.

Dalam video yang dikongsi oleh NVIDIA, permainan Half Life 2 dan The Elder Scrolls III: Morrowind,  diberikan sentuhan grafik moden yang mustahil ditawarkan semasa permainan dilancarkan lebih 20 tahun yang lalu. Bagi yang ingin mencuba sendiri RTX Remix, ia boleh dimuat turun menerusi pautan di bawah.

Komen