Carian
Motosikal Dari Filem Akira Kini Boleh Dibeli
January 23, 2024 Effi Saharudin

Dalam dunia perfileman terdapat beberapa kenderaan yang ikonik seperti DeLorean daripada Back to The Future, Mustang daripada Bullit dan Batmobile daripada Batman. Kesemuanya boleh dibeli pada harga yang tinggi. Terdapat juga kenderaan ikonik daripada filem animasi yang tidak boleh dibeli kerana ia sekadar fiksyen. Tetapi jika anda seperti saya yang mendambakan motosikal milik Kaneda daripada filem Akira, ia kini boleh dibeli.

Firma Bel&Bel dari Sepanyol kini membuka tempahan replika motosikal Kaneda ini. Ia menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan mempunyai sistem lampu pada tayar yang sama dengan kenderaan sebenar dalam animasi. Motor elektrik yang digunakan menghasilkan tork 520 Nm dan boleh memecut sehingga kelajuan 150 km/h. Tiada pula maklumat mengenai kapasiti bateri serta jarak perjalanan maksimum.

Setiap replika boleh dipesan pada harga €24,000 (~RM123,000) sebuah dengan €5,000 (~RM26,000) diperlukan sebagai bayaran muka semasa melakukan pesanan. Jadi kepada mereka yang ingin memiliki motosikal ini sejak 1988, ia kini boleh dibeli jika anda mempunyai dana mencukupi.

Komen