Senjata laser adalah fiksyen dalam filem Star Wars dan animasi G.I Joe. Tetapi dengan teknologi yang semakin matang, Amerika Syarikat dan Israel adalah dua negara yang mempunyai sistem senjata laser yang boleh menangkis peluru berpandu serta mortar. United Kingdom menjadi sebuah lagi negara yang berjaya membangunkan sistem senjata laser yang mempunyai kos operasi lebih murah berbanding sistem senjata konvensional.
Senjata laser DragonFire boleh menembak sasaran sebesar 22mm dengan tepat dari jarak 1 kilometer. Setiap “tembakan” adalah selama 10 saat untuk memusnahkan sasaran tetapi hanya menelan belanja £10 (~RM60). Ia dibangunkan oleh Makmal Sains dan Teknologi Pertahanan (Dstl), bagi pihak MOD UK dengan kerjasama firma MBDA, Leonardo dan QinetiQ.
Konflik di Ukraine dan Laut Merah menunjukkan keperluan untuk sistem menangkis dron yang pantas dan murah. Di Laut Merah pada waktu ini tentera Amerika menggunakan peluru berpandu bernilai ratusan ribu Dollar untuk menembak dron yang berharga ribuan Dollar sahaja yang dilihat merugikan. Kerajaan UK merahsiakan kemampuan sebenar DragonFire tetapi kini akan meneruskan fasa untuk ia digunakan oleh Tentera Laut Diraja dan Tentera Darat bagi keperluan misi masing-masing.