Megalodon ialah spesis ikan jerung purba yang hidup antara 23 ke 3.6 juta tahun yang lalu. Ia juga adalah antara spesis ikan jerung yang paling besar pernah wujud dengan panjang dianggarkan mencecah 18 meter. Namun begitu sekumpulan 26 saintis yang terdiri daripada pakar paleontologi jerung kini mengeluarkan hipotesis Megalodon mungkin lebih besar daripada anggaran asal.

Ramalan saiz Megalodon sebelum ini melakukan andaian bentuk tubuhnya adalah sama seperti jerung putih. Berdasarkan analisa saiz 16 tulang belakang jerung putih, panjang Megalodon kemudiannya boleh dianggarkan menggunakan fosil tulang belakangnya. Namun begitu fosil yang ditemukan di Belgium membuktikan teknik anggaran yang digunakan ini mungkin tidak tepat. Berdasarkan andaian lama, tulang belakang fosil ini sepatutnya sepanjang 9.2 meter sahaja. Tetapi fosil tulang belakang yang ditemukan adalah sepanjang 11.2 meter.
Menggunakan analisa fosil tulang Megalodon sedia ada, kumpulan saintis ini mengeluarkan hipotesis ia mempunyai tubuh yang lebih pipih dan panjang. Oleh itu anggaran baharu panjang Megalodon ialah hampir 20 meter.
Saiz sebenar yang tepat haiwan purba ini tidak mungkin diketahui kerana rangka lengkap tidak pernah ditemukan kerana rawan reput selepas beberapa juta tahun. Yang pasti sama ada panjangnya 20 meter ataupun “hanya” 18 meter, Megalodon masih antara ikan pemangsa yang paling menakutkan pernah wujud dan hanya boleh dibunuh oleh Jason Statham.