CelcomDigi, salah satu daripada syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia bersama-sama dengan Yinson GreenTech, syarikat teknologi hijau tempatan telah mengumumkan kerjasama yang akan memudahkan para pelanggan CelcomDigi untuk memiliki sebuah e-motosikal melalui langganan pascabayar CelcomDigi.

Dengan kerjasama ini, para pelanggan pascabayar CelcomDigi yang melanggani pelan bernilai RM70 dan keatas boleh menyewa-milik e-motosikal RydeEV bersama pelan ansuran Easy360. Selepas melanggan untuk pelan ansuran ini, pelanggan pascabayar CelcomDigi hanya perlu membayar bayaran ansuran RM299 untuk model motosikal RydeEV Ryder ataupun RM430 untuk model Hyper.
Tempoh pembayaran untuk kedua-dua model e-motosikal ini adalah untuk selama 36 bulan ataupun tiga tahun. Selepas tempoh tersebut, pelanggan akan hanya perlu membayar RM1 untuk sekali sahaja, dan kemudiannya melanggan perkhidmatan pertukaran bateri RydeEV yang berharga RM199 selama mana mereka memiliki e-motosikal tersebut.

Dalam pada itu, pelanggan yang layak untuk skim rebat kerajaan, iaitu Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) juga layak menikmati rebat RM2,400 untuk pembelian e-motosikal mereka,
dalam bentuk rebat bulanan RM200 selama tempoh 12 bulan. Para pelanggan yang layak boleh menyemak kelayakan skim tersebut di laman web MARiiCas.
RydeEV menggunakan bateri boleh-tukar Oyika, dan bagi mereka yang berminat untuk memiliki sebuah e-motosikal RydeEV, anda boleh memuat-turun aplikasi Oyika untuk melihat sendiri lokasi-lokasi dimana anda boleh menukar bateri di Lembah Kelang dan juga sekitar Johor Bahru. Pemilik e-motosikal ini juga mempunyai jumlah pertukaran tanpa had, jadi anda boleh menukar bateri e-motosikal ini sebanyak mana yang anda mahukan.
Untuk maklumat lanjut tentang tawaran dan lokasi pendaftaran, layari laman web CelcomDigi-RydeEV.