Carian
MIT – Pekerja AI Adalah Lebih Mahal Berbanding Manusia
January 24, 2024 Effi Saharudin

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif mengubah landskap penghasilan karya digital dan menyebabkan ramai dipecat dalam gelombang pertama implementasi teknologi ini di tempat kerja. Sudah wujud saranan supaya kerajaan menguatkuasakan undang-undang mengelakkan manusia digantikan dengan AI sebelum terlambat. Menurut kajian terkini Massachusetts Institute of Technology (MIT) Computer Science and Artificial Intelligence Laboratory (CSAIL, menggantikan manusia dengan AI adalah lebih mahal daripada disangka.

Dalam laporan yang diterbitkan, mereka melakukan kajian ke atas kerja-kerja khususnya yang memerlukan penglihatan. Hanya 23% kerja yang memerlukan penglihatan ini didapati berbaloi untuk AI menggantikan manusia. Ini adalah kerana kos membangunkan AI sendiri dan penyelenggaraannya masih tinggi.

Impak AI terhadap sektor pekerjaan manusia tidaklah seserius yang disangka pada awalnya. Sekiranya kos menggunakan AI berkurangan 20% setiap tahun sekalipun, kesannya ke atas pekerja manusia akan mengambil masa beberapa dekad.

Pada ketika ini kita sudah dapat melihat kos langganan perkhidmatan AI yang ditawarkan oleh Google Cloud dan OpenAI dan ianya harus diakui masih mahal untuk digunakan oleh syarikat kecil. Yang menjadi kepastian ialah kerja-kerja yang dilakukan manusia akan digantikan AI di masa hadapan. Industri perlu melakukan persediaan untuk perubahan yang akan berlaku dan manusia juga perlu melihat ke hadapan untuk mengelakkan diri mereka menceburi kerjaya yang paling mudah digantikan oleh AI.

Komen