Selain daripada peranti pintar dan televisyen mereka, Samsung juga ialah sebuah jenama yang cukup terkenal untuk komponen-komponen komputer mereka. Terkini, mereka akhirnya telah memperkenalkan penawaran storan SSD terbaru mereka secara rasmi.
Dinamakan Samsung SSD 990 EVO, storan SSD ini hadir dengan kemampuan unik dimana ia menyokong sambungan PCIe 4.0 x4 dan juga PCIe 5.0 x2 dengan kelajuan pembacaan data 5000MB/s dan penulisan data 4200MB/s. I tampil dalam saiz M.2 2280 yang disokong oleh pelbagai jenis papan induk dalam pelbagai jenis peranti, termasuklah komputer desktop, komputer riba dan konsol permainan.

Dari segi saiz storan pula, SSD 990 EVO ini hadir dalam dua pilihan storan, iaitu 1TB dan juga 2TB. Keunikan sokongan dua sambungan PCIe berbeza ini adalah dari segi jumlah jaluran yang diperlukan untuk menggerakkanya. Dengan sambungan PCIe 4.0 x4, ia menggunakan empat jaluran PCIe, manakala jika disambungkan ke palam yang menggunakan sambungan PCIe 5.0 x2, ia menggunakan dua jalur sahaja.
Secara teknikalnya, sokongan khusus untuk PCIe 5.0 bukanlah sesuatu yang diperlukan sekarang, tetapi ia cukup berguna sekiranya anda mahu menaiktarafkan komputer anda kepada papan induk dengan sokongan sambungan tersebut, SSD ini boleh digunakan semula tanpa masalah.
Setakat ini, hanya model 1TB dan 2TB SSD 990 Evo ini ditawarkan buat masa ini pada harga $124.99 dan $209.99 di pasaran-pasaran terpilih. Beberapa laporan juga mengatakan bahawa pilihan 4TB akan ditawarkan kelak, tetapi tidak diketahui bilakah ia akan tiba.