Carian
Ini 5 Ciri Galaxy AI Yang Anda Boleh Guna Sekarang
February 3, 2024 Fahim Zahar

Seperti yang dijangka, tahun ini Samsung melakukan pertaruhan all in ke dalam perkhidmatan kecerdasan buatan generatif atau AI generatif. Ekosistem AI Samsung ini diberi nama sebagai Galaxy AI. Ia menggunakan model bahasa raya (LLM) Samsung Gauss, Google Gemini Pro dan juga Gemini Nano.

Semua ciri AI ini sedia terbina dalam siri Samsung Galaxy S24 dan percuma untuk digunakan. Setiap ciri mampu melakukan perkara yang selama ini saya dan orang ramai beranggapan ia hanyalah satu sains fiksyen. Di dalam artikel ini saya akan kongsi 5 ciri Galaxy AI yang paling berguna.

Call Assist

Call Assist membolehkan panggilan telefon dengan dua bahasa berbeza diterjemah secara automatik. Misalnya anda menerima panggilan telefon berbahasa Cina, anda akan mendengar penterjemahan bahasa Inggeris. Sementara pemanggil tadi akan mendengar jawapan anda dalam bahasa Cina.

Call Assist turut tidak memerlukan akses Internet untuk menggunakannya. Ciri ini mengingatkan saya kepada Hon’yaku kon’nyaku, iaitu Konjac Penterjemahan dalam Doraemon atau jika anda peminat sains fiksyen telefon Samsung Galaxy S24 boleh menjadi seakan Universal Translator dari Star Trek. Buat masa ini hanya 13 bahasa yang disokong.

Chat Assist

Siri Samsung Galaxy S24 turut dilengkapi dengan ciri penterjemahan yang dikuasakan AI generatif. Ia memudahkan perbualan dengan dua bahasa berbeza seperti Inggeris dengan Korea. Untuk Samsung, mereka bukan sekadar menawarkan penterjemahan tetapi turut memanfaatkan teknologi AI generatif ini bagi membantu pengguna menjadi lebih kreatif. Antaranya adalah menulis semula ayat dalam intonasi yang lebih baik.

Saya amat bersyukur apabila Chat Assist diperkenalkan, kerana ayat yang saya tulis dengan cincai boleh diubah semula menjadi lebih formal, perkongsian ke media sosial, berbunyi santai, atau emojify. Ciri boleh digunakan dalam mana-mana platform pemesejan seperti WhatsApp, Messenger atau Line.

Note Assist

Note pada peranti Samsung adalah antara aplikasi catatan yang menarik. Dengan Note Assist, mana-mana nota anda boleh diubah ke format lain yang lebih elok, misalnya dalam bentuk senarai atau minit mesyuarat. Lebih menarik, Galaxy AI akan mencadangkan beberapa tema nota berbeza. Bukan itu sahaja, ciri ini turut boleh membetulkan ejaan dan juga menterjemah semua nota.

Photo Assist

Antara aplikasi suntingan yang popular yang telah memperkenalkan ciri AI generatif adalah Photoshop. Tetapi penggunaannya agak sukar. Untuk itu Samsung telah memperkenalkan Photo Assist melalui Galaxy AI pada Galaxy S24. Ciri ini menggunakan teknologi Galaxy ProVisual Engine untuk membuang kesan pantulan, objek atau orang lain yang mengganggu pemandangan, alihkan sesuatu ke tempat lain dan banyak lagi.

Jika gambar tidak mencukupi, Samsung turut membolehkan anda merakam video biasa dan hasilkan kesan gerak perlahan kemudian dengan bantuan AI generatif yang mengubahsuai bingkai pada video. Ciri Photo Assist ini mengambil masa sekitar 45 saat ke 60 saat untuk setiap satu suntingan.

Circle To Search with Google

Saya kerap menggunakan Google Lens kerana ia memudahkan mencari sesuatu yang saya tidak kenali. Misalnya baka kucing, beg galas, harga barang dan banyak lagi. Tetapi ciri ini leceh kerana saya perlu buka talam aplikasi dan cari aplikasi Google Lens.

Dengan Circle To Search with Google, ia membawakan ciri lebih kurang sama. Tetapi penggunaannya adalah lebih mudah. Terus tekan dan tahan butang home atau jika anda menggunakan gestur tekan dan tahan palang gestur di bawah skrin. Kemudian lukis bulatan pada objek yang anda ingin dicari.

Proses pencarian dilakukan juga adalah sangat pantas, boleh dikatakan sekelip mata sahaja anda boleh menerima keputusan. Selepas menggunakan menguji siri Samsung Galaxy S24, saya menggunakan Circle to Search with Google hampir setiap hari dan saya yakin jika anda membelinya pengalaman yang sama akan dapat dirasai.


Jika anda berminat untuk menggunakan kelima-lima ciri Galaxy AI yang menarik ini, anda perlu membeli Samsung Galaxy S24 Ultra, Galaxy S24+ atau Galaxy S24. Ketiga-tiga peranti ini boleh dibeli pada harga bermula RM4099. Berikut adalah penawaran Samsung Malaysia jika anda membeli peranti-peranti ini;

  • Naik taraf storan percuma ke 2x ganda bernilai RM500.
  • Baucar eksklusif bernilai RM500.
  • Rebat tukar-beli mencapai RM650.
  • Jimat sehingga RM800 dengan PWP membeli tablet Samsung Galaxy, jam Galaxy Watch atau barangan audio Galaxy Buds tertentu.
  • Potongan harga sehingga 45% untuk Samsung Care+ dan aksesori.
  • Baucar tambahan bernilai sehingga RM400 untuk mereka yang mendaftar minat dari 3 Januari sehingga 17 Januari.

*Penafian, ini adalah advertorial daripada Samsung Malaysia.

Komen