Kandungan video HDR nampak lebih dinamik dan hidup pada skrin peranti. Tetapi tidak semua kandungan di atas talian diproses dengan data meta HDR yang menyebabkan video tampak kurang bermaya. Hari ini NVIDIA mengumumkan perisian pemandu baharu yang mengaktifkan ciri mengubah video SDR ke HDR pada kesemua kad grafik siri GeForce RTX.
Sokongan diberikan kepada kad grafik RTX versi desktop dan komputer riba yang disambungkan kepada monitor yang boleh memaparkan kandungan HDR10. Video SDR yang distrim menerusi pelayar web berasaskan Chromium seperti Google Chrome dan Microsoft Edge akan diubah ke HDR secara automatik. Kecerdasan buatan NVIDIA digunakan bagi mengubah video ke HDR secara masa nyata. Selepas perisian pemandu terkini dipasang, ciri ini hanya perlu diaktifkan menerusi NVIDIA Control Panel.