Wear OS adalah sistem operasi jam tangan pintar yang menarik. Tetapi untuk menikmati ciri dan fungsi yang terkini, ia terhad kepada Galaxy Watch atau Pixel Watch sahaja. Sementara jam lain terhad kepada Wear OS generasi lama yang mengambil masa 1-2 tahun untuk dikemaskini.
Terbaru, Samsung dan Google dilaporkan sudah mula membangunkan Wear OS 5 berasaskan Android 14 untuk Galaxy Watch7 dengan cip Exynos 5535. Tiada butiran apakah ciri baharu yang akan dibawakan tetapi selepas Galaxy Watch, Wear OS 5 dikatakan akan diberikan kepada Pixel Watch 3 terlebih dahulu.
Ini adalah satu perkara yang berbeza dengan sebelum ini kerana Google biasanya melangkau versi Android untuk membangunkan Wear OS. Misalnya Wear OS 2 berasaskan Android 9, Wear OS 3 Android 11 dan Wear OS 4 Android 13. Untuk Wear OS 5 yang menggunakan Android 14, satu versi selepas Wear OS 3 adalah perkara yang jarang dilakukan.
Setakat ini Wear OS 4 masih terhad kepada Samsung dan Google. Jam-jam lain masih menjalankan Wear OS 3.5 dan tidak pasti selepas Wear OS 5 dilancarkan adakah jam lain turut akan menerimanya atau kekal menjadi eksklusif kepada dua jenama ini sahaja.