Cari @ Amanz

Google Research telah membangunkan sebuah lagi kecerdasan buatan (AI) generatif yang mampu menghasilkan video pendek dengan hanya memasukkan prom dalam bentuk teks. Lumiere bukan sahaja boleh menjana imej resolusi tinggi yang realistik tetapi turut boleh meniru gaya imej yang diberikan oleh pengguna.

Lumiere turut boleh menghasilkan animasi menerusi imej yang dimuat naik pengguna. Menerusi video di atas, imej animasi seakan cinemagraph boleh dihasilkan Lumiere dengan pengguna menetapkan kawasan animasi ingin dihasilkan seperti air mengalir atau asap yang keluar daripada cerobong asap kereta api.

Ciri menarik lain Lumiere ialah mengubah sebahagian elemen dalam video. Jenis pakaian, warna baju dan elemen lain dalam video asal boleh diubah mengikut prom yang dimasukkan oleh pengguna. Tidak terhenti di situ, Lumiere turut boleh diarahkan untuk mengubah gaya video video sepenuhnya. Misalnya video normal diubah ke gaya kubisme ataupun seakan bongkah Lego.

Menerusi Lumiere, video sepanjang lima saat pada resolusi 1024×1024 pixel pada kadar 15 FPS dapat dihasilkan. Ia adalah peningkatan daripada Google Imagen dari tahun 2022 yang menjana video 24×24 pixel sahaja pada kadar 3FPS.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd