Carian
Sam Altman Akan Bertemu Samsung Foundry Dan SK Hynix Untuk Membincangkan Pengeluaran Cip Kecerdasan Buatan
January 26, 2024 Nazrin

Pada minggu lepas, ia telah dilaporkan bahawa OpenAI akan bekerjasama dengan TSMC untuk membangunkan cip pemprosesan untuk tujuan pembelajaran mesin, kecerdasan buatan dan sebagainya. Terkini, Reuters pula melaporkan bahawa Sam Altman, CEO dan pengasas OpenAI akan ke Korea Selatan untuk bertemu dengan Samsung Foundry dan juga SK Hynix.

OpenAI nampaknya mahu memasuki arena baru, dimana mereka membangunkan komponen-komponen untuk kelengkapan sistem dan mesin pelayan kecerdasan buatan mereka sendiri. Perkara ini dilaporkan sejak suku keempat tahun 2023, dimana sehingga kini OpenAI masih lagi menggunakan mesin-mesin pelayan yang dibangunkan oleh Microsoft menggunakan komponen kecerdasan buatan yang dibangunkan oleh NVIDIA.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan khususnya kerana kad grafik NVIDIA memang dinobatkan sebagai komponen penggerak kecerdasan buatan yang terbaik di pasaran sekarang dengan kad grafik NVIDIA H100, dan syarikat tersebut dijangka akan memperkenalkan penawaran yang lebih baru tidak lama lagi.

Butiran mengenai pertemuan ini tidak diketahui lagi, tetapi ia dijangka bahawa pertemuan dengan Samsung Foundry ialah untuk memperluaskan lagi tapak pengeluaran cip kecerdasan buatan mereka, manakala pertemuan dengan SK Hynix ialah untuk membangunkan memori HBM yang secara lazimnya digunakan dalam sektor mesin pelayan secara besar-besaran.

Komen