Carian
Konsol XBox Series X Melepasi SIRIM – Bakal Dilancarkan Secara Rasmi?
January 26, 2024 Effi Saharudin

Konsol permainan video Xbox telah dilancarkan sejak 2001. Walaupun sudah lebih 20 tahun wujud, ia tidak pernah dipasarkan di Malaysia secara rasmi. Akibatnya jika wujud masalah kerosakan seperti RROD pada Xbox 360 dahulu, proses mendapatkan alat ganti serta waranti adalah hampir mustahil. Tetapi baru-baru ini konsol Xbox Series X telah melepasi laman SIRIM.

Lazimnya apabila sesuatu produk melepasi pangkalan data SIRIM, ia menandakan pelancarannya di Malaysia adalah semakin hampir. Maklumat menunjukkan model “1882” Series X sahaja yang melepasi SIRIM. Ini ialah model dengan storan 1TB yang terkini. Kami tidak menemukan Xbox Series S pada waktu ini.

Golongan peminat konsol telah lama meminta Microsoft membawa masuk Xbox ke pasaran tempatan. Hanya tahun lalu Game Pass mula ditawarkan ke Malaysia tetapi hanya sekadar di PC. Ia memberikan harapan perkhidmatan yang sama akan membuka pintu kepada pelancaran konsol bagi memberikan persaingan kepada PlayStation. Kepada mereka yang menanti lebih dua dekad, penantian anda untuk Xbox secara rasmi di Malaysia mungkin akhirnya akan berakhir tidak lama lagi.

Komen