Logam cecair mendapat banyak perhatian kebelakangan ini dengan pelbagai jenis aplikasi yang unik, dan terkini, sekumpulan penyelidik dari Massachusetts Institute of Technology telah mencipta satu teknik cetakan 3D pantas menggunakan bahan tersebut.
Cetakan 3D menggunakan bahan logam bukanlah sesuatu yang baru, tetapi secara lazimnya ia akan mengambil masa beberapa jam untuk menyiapkan apa-apa produk. Teknik baru ini dinamakan Liquid Metal Printing (LMP) dan menggunakan aluminum lebur yang ditekapkan didalam manik kaca dan apa-apa barang yang mahu dicetak boleh dibangunkan dengan cepat dan mudah.
Dimana kelebihan pencetakan 3D sebegini dilihat melalui betapa cepatnya apa-apa objek boleh dibangunkan, kekurangannya pula adalah bagaimana ia tidak boleh mencetak objek-objek bersaiz kecil, ataupun apa-apa yang memerlukan cetakan secara terperinci.
Oleh kerana itu, buat masa ini teknologi pencetakan 3D logam cecair ini lebih bermanfaat untuk objek-objek besar sahaja seperti bahagian-bahagian untuk kerusi dan meja. Dalam pada itu, objek yang dicetak juga cukup tahan lasak, dan boleh menahan pelbagai jenis perubahan yang dilakukan keatas strukturnya, seperti tebukan lubang, gerudi dan sebagainya.
Walaupun begitu, kumpulan penyelidik ini masih lagi akan membangunkan teknologi ini lagi supaya ia boleh dimanfaatkan dalam pelbagai jenis cara lagi di masa hadapan.