Cari @ Amanz

Luno Malaysia hari ini memperkenalkan ciri baharu pada platform mereka dalam membolehkan para pengguna menjana ganjaran kriptowang tambahan, iaitu melalui ciri “Stake”. Untuk pengenalan ini, ciri “Ethereum Staking” telah diaktifkan, dan pihak Luno turut menyatakan ciri sama untuk kriptowang Cardano bakal diperkenalkan dalam beberapa minggu lagi.

Untuk pengetahuan, fungsi Stake ialah salah satu kaedah untuk menjana ganjaran dari kripto dengan membantu mengesahkan transaksi mata wang kripto. Anda boleh menjadikan mata wang kripto anda sebagai Stake pada projek yang menggunakan mekanisme konsensus Proof-of-Stake untuk memproses transaksi seperti Ethereum.

Mekanisme konsensus Proof-of-Stake memerlukan peserta meletakkan mata wang kripto mereka pada rangkaian untuk membantu memastikan keselamatan rangkaian mata wang kripto tersebut. Untuk membolehkan transaksi disahkan dan menerima ganjaran, anda perlu meletakkan sejumlah mata wang kripto sebelum anda boleh menyertai fungsi ini.

Pada platform Luno, pengguna boleh meletakkan pada nilai serendah 0.00001 ETH atau RM1, dan menerima ganjaran sehingga 4% setahun (bergantung pada pelbagai keadaan rangkaian). Ganjaran akan diberikan pada setiap minggu ke akaun pengguna.

Bagi anda yang berminat, boleh menyemak ciri Stake ini pada aplikasi Luno hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd