Penggunaan media sosial semakin hari semakin berleluasa. Pelbagai platform ditawarkan seperti Facebook, Instagram, X, Snapchat, TikTok dan banyak lagi untuk pengguna berkongsi kerjaya mereka atau kisah hidup. Tetapi tahukah anda yang kebanyakan pempengaruh mempunyai akaun kedua hanya untuk keluarga, yang tersayang atau kawan rapat? Akaun kedua ini tular di Amerika sebagai finstas dan baru-baru ini, Instagram mula membawakan ciri Flipside untuk mempopularkan lagi konsep finstas.

Flipside membenarkan pengguna mempunyai satu akaun dengan dua profil berbeza. Satu profil yang memperlihatkan kandungan kreatif, kerjasama dengan produk berjenama, fotografi dan lain-lain – sementara profil kedua adalah untuk siaran kandungan untuk pengikut terpilih sahaja. Jika anda tertanya apa bezanya dengan Close Friends? Kandungan Close Friends kekal di dalam profil utama anda, tetapi Flipside membawakan profil berbeza agar pengguna sendiri tidak keliru.

Adakah ciri ini lebih baik berbanding Close Friends? Adakah Close Friends akan ditamatkan? Bilakah ciri ini akan diedarkan kepada orang ramai? Buat masa ini masih tidak jelas, berdasarkan semakan saya ramai yang menerima ciri ini tinggal di Amerika Syarikat. Sama-sama kita nantikan perkembangan ciri ini kelak.