Realme C67 dilancarkan di Malaysia sekitar tiga minggu lalu pada harga bermula RM799. Apa yang saya sedari sejak kebelakangan ini ialah, peranti harga bawah RM1000 sekarang sudah agak berkuasa melenyapkan stigma “murah adalah sampah”. Apa yang anda dapat dengan C67? Ini ulasan kilat untuk peranti mampu milik ini.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-A.jpg)
SPESIFIKASI
Realme C67 | |
---|---|
Skrin | 6.72″ TFT LCD, FHD+, 90HZ |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 685 (6nm) |
Cip | 4 X 2.8 GHz Cortex-A73 4 X 1.9 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Adreno 610 |
RAM | 8GB LPDDR4X 8GB Maya |
Muatan Dalaman | 128/256GB UFS 2.2 Mikro SD 2TB |
Kamera Utama | 108MP, f/1.8 (Sudut Lebar) 2MP, f/2.4 (Kedalaman) |
Kamera Swafoto | 8MP f/2.1 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 33W |
SIM/Telefoni | Dwi Nano/4G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | IP54 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi Wajah |
Harga Jualan | RM 799 (8/128 GB) RM 899 (8/256 GB) |
SKRIN
Skrin 6.72″ IPS LCD dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula yang 90Hz. Kadar segar semula ialah dinamik antara 60Hz atau 90Hz bergantung kepada situasi. Skrin sekadar memuaskan sahaja tanpa sokongan sebarang mod HDR. Ia juga responsif terhadap sentuhan dan tiada isu untuk menonton kandungan video. Kekurangan hanyalah bezel agak tebal serta lubang kamera di depan berbentuk bujur yang besar.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-D-950x535.jpg)
Lubang bujur ini sama seperti yang ada pada iPhone 15 Pro Max. Gaya sudah sama dan tidak mengejutkan wujud juga beberapa ciri yang mengambil inspirasi daripada iPhone. Sistem Magic Capsule 2.0 disokong pada C67 membawakan ciri seakan Dynamic Island.
Pada model ini Magic Capsule menyokong paparan pengecasan bateri, notifikasi cuaca, peringatan masa dan kawalan muzik. Ianya tidak sebaik Dynamic Island tetapi agak berguna. Sebagai contoh lagu pada YouTube Music boleh ditukar ke depan dan ke belakang dengan menatal jari ke kanan atau kiri terus daripada Magic Capsule.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-E.jpg)
BIOMETRI
Pengimbas cap jari diletakkan pada butang kuasa di sebelah kanan bingkai. Permukaan butang kuasa adalah rata dan besar maka proses mengimbas cap jari adalah sangat pantas. Terdapat juga sistem imbasan wajah yang berfungsi agak baik juga dalam keadaan gelap kerana skrin akan menyala terang bagi membolehkan wajah pemilik dicam.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-F.jpg)
REKAAN
Rekaan tubuh C67 mengingatkan saya kepada Realme 11 5G yang saya ulas tahun lalu. Bingkai logam rata pada bahagian sisi dipadankan dengan panel polikarbonat seakan kaca di belakang. Rekaan rata membuatkan peranti terasa tegap dan mengikut trend rekaan semasa. Di dalam tangan ia terasa selesa, tidak licin dan tidak menyakitkan tangan.
Butang kuasa dan laras audio terletak pada sisi kanan. Talam dwi SIM nano dan satu slot kad mikro SD diletakkan pada sisi kiri. Talam mempunyai tiga slot maka dua SIM dan satu kad dengan storan sehingga 2TB boleh digunakan serentak.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-G-950x535.jpg)
Di bawah terdapat bicu audio 3.5mm, port pengecasan USB-C dan salah satu daripada dua speaker stereo. Sementara itu di belakang terdapat dua bonggol yang menempatkan kamera sudut lebar 108MP dan kedalaman 2MP. Bonggol tidaklah begitu tinggi dan besar. Ia sama sahaja dengan bonggol OnePlus Nord CE 3 Lite dan Oppo A78 5G. Tidak melampau untuk mengatakan rekaan OnePlus dan Oppo telah dikitar semula pada Realme C67 kerana ketiga-tiga syarikat bernaung di bawah payung BBK Electronics.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-H.jpg)
Tubuh mempunyai ukuran 164.6 x 75.4 x 7.6 mm yang saya kategorikan sebagai nipis walaupun dilengkapi bateri sebesar 5000 mAh. Tiada rungutan pada rekaan kerana ia turut hadir dengan kemampuan kalis percikan air IP54. Agak jarang melihat peranti pada tanda harga ini mempunyai sebarang kemampuan kalis air.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-I.jpg)
Sistem operasi Realme UI 4.0 berasaskan Android 14 yang harus diberi pujian kerana biasanya peranti murahan masih diberikan sistem operasi satu generasi ke belakang. Antaramuka Realme UI adalah amat mirip Android asli maka ia kelihatan kemas dan mudah difahami. Oleh sebab tidak banyak ciri tambahan merepek ditambah, C67 beroperasi dengan agak lancar walaupun dengan pemproses yang tidak begitu berkuasa.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-869x1280.jpg)
Sistem RAM Expesnion membolehkan sehingga 8GB RAM lagi ditambah secara maya memberikan potensi sehingga 16GB RAM digunakan. Saya sekadar mengaktifkan 4GB secara maya kerana ia memadai. Ciri ini menarik tetapi sebahagian storan akan diambil sehingga merugikan kerana peranti hanya mempunyai 256GB storan. Jika kehabisan storan, pemilik boleh menggunakan kad mikro SD sehingga 2TB.
Terdapat ciri standard Multi Windows, menggunakan peranti dengan satu tangan, gestur, mod memandu dan mod ebuku. Sebagai sebuah peranti kelas permulaan, ciri tambahan yang ditawarkan Realme pada peranti ini tidaklah begitu mewah.
PENANDA ARAS
Snapdragon 685 dilancarkan pada awal 2023 tetapi sekadar kemas kini kepada Snapdragon 680 dengan empas teras utama beroperasi pada kelajuan lebih tinggi. Untuk melihat kemampuannya ujian penanda aras Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark Wildlife Extreme telah dilakukan.
Kami bandingkan Realme C67 dengan Honor X7b (Snapdragon 680), Tecno Pova5 4G (Helio G99), Realme 11 5G (Dimensity 6100+), Samsung Galaxy M14 5G (Exynos 1330), dan Oppo A98 5G (Snapdragon 695).
Antutu 3D Benchmark
- Realme C67 – 304,413
- Honor X7b – 313,453
- Realme 11 5G – 373,331
- Tecno Pova5 4G – 406,217
- Samsung Galaxy M14 5G – 454,662
- Oppo A98 5G – 411,010
Geekbench 6
- Realme C67 – 470/1530
- Honor X7b – 412/1425
- Realme 11 5G – 720/1884
- Tecno Pova 5 4G – 737/2005
- Samsung Galaxy M14 5G – 924/2129
- Oppo A98 5G – 885/2034
WildLife Extreme
- Realme C67 – 133
- Honor X7b – 120
- Realme 11 5G – 327
- Tecno Pova 5 4G – 1,263
- Samsung Galaxy M14 5G – 1388
- Oppo A98 5G – 1212
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-Skor.jpg)
Dalam semua ujian Snapdragon 685 kalah kepada Helio G99, Dimensity 6100+, Exynos 1330 dan Snapdragon 695. Ia sekadar mampu mengalahkan Snapdragon 680 sahaja. Ini sememangnya telah dijangka kerana penggunaan teras Cortex-A76 yang sudah agak berusia.
Aplikasi media sosial, pelayar web dan perbankan boleh dijalankan oleh C67 pada tahap memuaskan. Pemasangan aplikasi agak perlahan kerana memori UFS 2.2 sahaja. Sekali lagi ini bukan dosa C67 kerana ia sebuah peranti mampu milik. Jika kelajuan yang anda cari, peranti harga bawah RM100 hampir mustahil akan memuaskan anda.
Permua boleh dijalankan tetapi pada tetapan sederhana dan rendah sahaja. COD Mobile masih boleh dimainkan pada tetapan rendah. Peranti tidak menjadi panas jika tetapan ini dipilih. Secara keseluruhan sebagai peranti kelas permulaan, harapan pengguna haruslah lebih rendah kerana prestasinya memang tidak akan mengagumkan.
TELEFONI dan GPS
Peranti sekadar menyokong rangkaian 4G dan WiFi 5GHz. Saya tidak merasakan kerugian tiada sokongan 5G pada C67 kerana harganya murah dan pengalaman rangkaian 5G di Malaysia masih tidak begitu konsisten. Pengalaman GPS juga sederhana sahaja di mana ia tidaklah pantas dan tidak juga terlalu perlahan. Prestasinya setanding dengan sebuah peranti kelas permulaan.
KAMERA
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 108MP dan pengesan kedalaman 2MP. Di hadapan kamera pula hanya sekadar 8MP. Prestasi kamera adalah sekadar memuaskan sahaja. Tanpa OIS mod malam menghasilkan gambar yang tidak cukup tajam. Sensor besar membantu menangkap gambar yang agak baik dalam keadaan persekitaran yang terang. Gambar masih agak gelap jika ingin dibandingkan dengan peranti kelas pertengahan.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-BB.jpg)
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-Photos_45.jpg)
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-Photos_37.jpg)
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-Photos_29-950x713.jpg)
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-Photos_21.jpg)
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-Photos_19.jpg)
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-Photos_27.jpg)
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-Photos_23.jpg)
BATERI
Bateri sebesar 5,000mAh memberikan ketahanan bateri seharian dengan SOT mencecah 10 jam dalam penggunaan biasa. Kerana sekadar 4G, kami sedari bateri tidak digunakan dengan pantas. Waktu pengecasan semula adalah sekitar 70 minit menggunakan pengecas 33W yang disertakan dengan setiap pembelian.
AUDIO
Terdapat speaker stereo dengan tetapi sekadar ala kadar sahaja. Pada tetapan audio paling tinggi bunyi agak berkecamuk tetapi pada tanda harga semurah ini sokongan stereo adalah amat dihargai. Tambah lagi C67 juga dilengkapi bicu audio 3.5mm yang menyokong aksesori audio berwayar.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-C.jpg)
PERANTI PESAING
Realme C67 | Honor X7b | Tecno Pova 5 |
6.72″ IPS LCD 90Hz 1080 x 2400(~392 ppi) | 6.8″ IPS LCD 90Hz 1080 x 2412 (~389 ppi) | 6.78″ IPS LCD 120Hz 1080 x 2460 (396 ppi) |
Snapdragon 685 (6nm) 4 X 2.8 GHz Cortex-A73 4 X 1.9 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 680 (6nm) 4 X 2.4 GHz Cortex-A73 4 X 1.9 GHz Cortex-A55 | Helio G99 (6 nm) 2 x 2.2 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Adreno 610 | Adreno 610 | Mali-G57 MC2 |
8GB RAM | 8GB RAM | 8GB RAM |
256GB ROM | 256GB ROM | 256GB ROM |
Kamera Utama 108MP, f/1.8 (Lebar) 2MP, f/2..4 (Kedalaman) | Kamera Utama 108MP, f/1.8 (Lebar) 5M, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP, f/2,4 (Kedalaman) | Kamera Utama 50MP, f/1.8 (Lebar) 0.08MP, f/2,4 (AI) |
Kamera Hadapan 8MP f/2.1 | Kamera Hadapan 8MP f/2.0 | Kamera Hadapan 8MP f/2.5 |
IP54 | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Bicu audio | Bicu audio | Bicu audio |
Audio stereo | Audio stereo | Audio Stereo |
5000mAh Berwayar 33W | 6000mAh Berwayar 35W | 6000mAh Berwayar 45W |
RM799 (8/128GB) RM899 (8/256GB) | RM799 (8/256GB) | RM699 (8/256GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Realme C67
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Kerangka silikon.
- 1x Pengecas 33W tiga pin
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Realme C67 meneruskan tradisi Realme menawarkan peranti mampu milik kelas permulaan yang berbaloi untuk dimiliki. Ia hadir dengan pemproses yang berkuasa untuk pelbagai aplikasi serta permua pada tetapan sederhana. Masih terdapat sokongan kalis air IP54 serta sistem audio stereo yang jarang diberikan pada peranti kelas ini.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Realme-C67-B.jpg)
Gimik Mini Capsule pada C67 juga lebih berguna berbanding pada C53 sebelum ini. Di Malaysia Realme C67 dijual pada harga RM799 untuk 8/128GB dan RM899 untuk 8/256GB.
Pro
- Skrin 90Hz yang lancar.
- Bateri besar tahan lama.
- Android 14
- Speaker stereo.
- Bicu audio 3.5mm
- Kalis percikan air IP54
Kontra
- Kamera sederhana sahaja.
- Cip agak berusia prestasi sederhana.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/01/Skor-Realme-C67-950x200.jpg)