Cari @ Amanz

Kerajaan Amerika telah mula menghentikan penjualan cip-cip pemprosesan yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat negara tersebut ke China sejak beberapa tahun dahulu, dan dilihat telah mengetatkan penjualan komponen semikonduktor ke syarikat-syarikat negara tersebut.

Kebelakangan ini, ia dilaporkan bahawa China masih lagi membangunkan teknologi baru menggunakan komponen-komponen yang sepatutnya diharamkan jualannya ke negara tersebut. Penyeludupan berskala besar dipercayai diantara sebab mengapa perkara ini berlaku, dan dua individu dari Korea Selatan yang disyaki menyeludup komponen-komponen ini telah ditangkap.

Dua individu ini, yang merupakan sebahagian daripada sebuah syarikat pengedar komponen dan kelengkapan elektronik telah didakwa menyeludup sebanyak 96 ribu cip semikonduktor bernilai 13.9 bilion KRW.

Semikonduktor Cip

53 ribu daripada cip semikonduktor tersebut merupakan komponen larangan dan memerlukan kebenaran daripada kerajaan Korea Selatan sebelum ia boleh dieksport ke negara-negara lain, tetapi ia didapati bahawa syarikat tersebut tidak membuat sebarang permintaan mengenainya.

Komponen-komponen ini telah diseludup secara kecil-kecilan menggunakan mel udara sebanyak 144 kali dari Ogos 2020 ke Ogos 2023 dan telah tumpas kerana siasatan audit yang dilakukan keatas syarikat tersebut.

Selain daripada cip pemprosesan untuk komputer, diantara cip semikonduktor yang diseludup juga adalah untuk tujuan mengubah isyarat analog ke isyarat digital, yang mempunyai banyak kegunaan dalam pelbagai jenis industri, termasuklah industri ketenteraan.

Kedua-dua individu ini dilaporkan disyaki melanggar beberapa akta termasuklah Akta Perdagangan Luar Negeri, Akta Kastam dan Akta Kawal Selia dan Hukuman Penyembunyian Hasil Jenayah, menurut Korea Times.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd