Siri peranti pintar gaming ASUS ROG Phone 8 telah dilancarkan secara global beberapa minggu yang lalu, dan kini, ASUS Malaysia telah mengumumkan bahawa ia akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi, dan pra-tempahan sudahpun dibuka.
ASUS Malaysia mengatakan bahawa mereka akan membawa masuk tiga model peranti ROG Phone 8 ke pasaran Malaysia, termasuklah ROG Phone 8 asas dengan gabungan memori dan storan 12GB/256GB, ROG Phone 8 Pro dengan gabungan 16GB/512GB dan ROG Phone 8 Pro Edition dengan penawaran 24GB/1TB.
Ketiga-tiga model peranti pintar ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm yang terbaru dan paling berkuasa, iaitu Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 dan tampil dengan paparan skrin OLED LTPO bersaiz 6.78 inci dengan resolusi FHD+ (2400×1080) dengan kadar segar semula 165Hz dan nilai kecerahan setinggi 2500 nit.
Ia juga menggerakkan sistem operasi Android 14 yang terbaru dan menggunakan antaramuka ROG UI yang masih mengekalkan rekaan antaramuka agresif, walaupun rekaan fizikal generasi ketiga peranti ini memperlihatkan rekabentuk yang lebih elegan berbanding dengan model-model sebelum ini.
Dari segi kamera, ASUS juga telah menaiktarafkan sistem kamera ROG Phone 8 dengan memuatkan sistem tri-kamera digunakan dengan 50MP utama (Sony IMX890) + 13MP ultra lebar + 5MP dengan OIS terbina. Untuk model ROG Phone 8 Pro dan ROG Phone 8 Pro Edition, kamera ketiga hadir dengan sensor 32MP menggantikan sensor 5MP.
Bateri 5,500mAh diserta menyokong pengecasan pantas 65W yang menyokong teknologi pengecasan pantas QC 5.0 dan juga PD 3.0 yang membolehkan peranti ini dicas dengan pantas, tetapi mengekalkan kesihatan bateri yang berpanjangan.
Dalam pada itu, ASUS ROG Phone 8 juga merupakan siri peranti pintar gaming pertama yang tampil dengan pengesahan kalis air dan debu IP68
Pada peranti ASUS ROG Phone 8 Pro dan ROG Phone 8 Pro Edition, ia juga hadir dengan paparan Mini LED AniMe Vision yang boleh diubahsuai, sama seperti apa yang ditawarkan pada peranti ROG Phone 7 Ultimate sebelum ini. Output paparan skrin sekunder ini boleh diubahsuai pada perisian Armory Crate terbina.
Seperti peranti-peranti ASUS ROG Phone sebelum ini juga, ASUS turut memperkenalkan sebuah kipas penyejuk AeroActive Cooler X baru yang hadir dengan teknologi penyejukan yang lebih kuat untuk prestasi peranti terbaik pada suhu optima.
Menurut ASUS Malaysia, siri peranti ASUS ROG Phone 8 ini sudahpun memasuki pasaran tempatan dan boleh dibeli pada tanda-tanda harga berikut:
- ROG Phone 8 (12/256) – RM3,999
- ROG Phone 8 Pro (16/512) – RM4,799
- ROG Phone 8 Pro Edition (24/1T/dengan penyejuk AeroActive Cooler X) – RM5,999
Dalam pada itu, jika anda mahu membeli aksesori-aksesori untuk ROG Phone 8 secara berasingan, ASUS Malaysia juga menawarkan aksesori tersebut untuk pasaran tempatan:
- AeroActive Cooler X – RM349
- ROG Phone 8 DEVILCASE Guardian Standard – RM149
- ROG PHONE 8 Antibacterial Glass Screen Protector – RM149
- ROG Phone 8 Silicone Case – RM149