Januari belum berakhir dan trend syarikat pembangun permainan video membuang bekerja kini merebak ke studio Eidos Montreal. Studio di bawah payung Embracer Group ini mengumumkan 97 kakitangan akan dibuang kerja sebagai langkah penstrukturan semula syarikat pasca pandemik.
Ia akan melibatkan kakitangan pasukan pembangunan, pengurusan dan perkhidmatan sokongan. Turut diumumkan ialah pembatalan permainan baharu Deus Ex yang dipercayai telah dalam proses pembangunan sejak dua tahun lalu. Eidos ialah studio yang menghasilkan permainan Deus Ex: Mankind Divided dari tahun 2016. Permainan yang dibatalkan belum pernah diumumkan dan sepatutnya menjadi yang ke sepuluh dalam siri yang sudah wujud sejak tahun 2000 di bawah pembangun asal studio Ion Storm.
Embracer Group mengalami masalah kewangan tahun lalu selepas syarikat gagal dijual kepada pelabur Arab Saudi. Akibatnya studio Volition dan Campfire Cabal telah ditutup tahun lalu.