Kerjasama strategik antara TECNO dan Dolby Laboratories merupakan satu dimensi baharu untuk penyelesaian audio lebih baik, serta pengalaman mendengar muzik mendalam untuk pengguna peranti Tecno. Kerjasama ini juga memberi manfaat kepada kedua-dua pihak ini untuk membangunkan lebih banyak penyelesaian kreatif secara bersama.

Tecno Pova 6 Pro 5G akan menjadi antara yang terawal diberikan sokongan Dolby Atmos, kemudiannya diikuti dengan semua peranti di bawah siri Camon dan Phantom pada masa akan datang. Berbeza dengan sistem audio tradisional, Dolby Atmos boleh menyampaikan pengalaman audio premium dengan keupayaan perincian lebih menakjubkan.

Ini bermakna pengguna Tecno bukan sahaja boleh mendengar dengan jelas, malahan turut boleh menikmati setiap perincian audio lebih mendalam. Selain itu, kualiti Dolby Atmos juga boleh membawa dimensi baharu kepada pengguna, sekaligus menjadikan pilihan ideal buat mereka yang menghargai audio berkualiti tinggi.

Tecno Pova 6 Pro 5G akan dilancarkan secara rasmi pada penghujung Februari di pentas MWC 2024. Masih belum jelas mengenai spesifikasi peranti namun dikatakan boleh menjanjikan sesuatu yang menarik khususnya buat pengguna muda.