Carian
Ulasan Poco X6 5G – Peranti Dolby Atmos Dan Vision Mampu Milik
February 2, 2024 Rihhadatul Aisy

Poco hadir dengan dua jenis pilihan peranti iaitu Poco X6 Pro 5G dan juga Poco X6 5G menerusi siri-X pada tahun ini. Seperti biasa Poco sentiasa tampil dengan penawaran harga yang menarik berbanding dengan pesaing lain di dalam kelasnya. Tetapi adakah harga yang ditawarkan sepadan dengan prestasi dan kualiti yang diberikan? Soalan tersebut mungkin akan terjawab menerusi artikel ulasan kali ini dimana saya akan berkongsi tentang pengalaman menggunakannya selama beberapa hari.

SPESIFIKASI

Poco X6 5G
Skrin6.67″ AMOLED, 120Hz
Dolby Vision
PemprosesSnapdragon 7s Gen 2 (4 nm)
Cip4×2.40 GHz Cortex-A78
4×1.95 GHz Cortex-A55
Cip GrafikAdreno 710
RAM8/12GB LPDDR4X
6GB Maya
Muatan Dalaman512GB UFS 2.2
Mikro SD 2TB
Kamera Utama64MP, f/1.8 (Sudut Lebar)
8MP, f/2.2 (Ultra Lebar)
2MP, F/2.4 (Makro)
Kamera Swafoto16MP f/2.5 (Lebar)
Bateri5100 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniDwi Nano/5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIP54
Sistem ImbasanPengimbas cap jap cari bawah skrin wajah
Harga JualanRM 1199 (8/256 GB)
RM 1299 (12/256 GB)
RM 1499 (12/512 GB)

SKRIN

Skrin 6.67” AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dengan perlindungan Gorilla Glass Victus bersama sokongan paparan Dolby Vision memberikan pengalaman penggunaan yang cukup baik dan memuaskan. Salah satu kelebihan skrin Poco X6 5G ini ialah bezelnya yang sangat nipis dan Poco dalam iklan mereka menyebutnya sebagai ‘ultra-nipis’ dengan saiz ketebalan bezel kiri dan kanan yang cuma setebal 1.3mm manakala bezel pada bahagian bawah pula 2.27mm yang menjadikan paparan skrin tampak penuh dan lebih menyeluruh. Di bahagian atas skrin pula terdapat satu lubang kecil untuk kamera hadapan.

Paparan CrystalRes juga terbina bersama yang menjadikan kualiti visual adalah setanding dengan WQHD+ yang Xiaomi janjikan mampu menghasilkan paparan imej yang lebih jelas daripada FHD+. Maka setelah menggunakannya selama beberapa hari, apa yang boleh saya katakan ialah pengalaman menonton video Netflix dan Youtube pada peranti sememangnya mengujakan. Meskipun kualiti paparan yang terbina cukup cemerlang tetapi kadar penggunaan tenaga oleh peranti masih lagi dapat dijaga dengan baik. Skrinnya juga memiliki tahap kecerahan puncak sehingga 1800 nits yang sangat terang dan jelas walaupun digunakan di kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari.

Ciri Dolby Vision yang disertakan pula sememangnya menjadikan skrin peranti ini tetap saja mampu memberikan pengalaman melihat paparan yang berkualiti pada kebanyakkan masa sepanjang tempoh ujian dilakukan. Kadar segar semula 120Hz pula sentiasa memastikan tatalan skrin nampak lancar dan untuk beberapa hari penggunaan ini saya tidak pernah mengalami sebarang masalah sela masa walaupun menjalankan beberapa aplikasi secara serentak dan bertukar-tukar penggunaan. Sentuhan pada skrin juga adalah sangat responsif yang sekaligus memberikan pengalaman memainkan permua terasa jauh lebih lancar dan menyeronokkan.


BIOMETRI

Pengesanan cap jari diletakkan di bahagian bawah skrin dan jujur saya katakan imbasannya adalah sangat pantas di mana ia boleh mengesan cap jari dengan serta merta. Bukan itu saja, pengimbas wajahnya juga bertindak menyahkunci dengan cukup laju sebaik saja paparan skrin dinyalakan di hadapan wajah. Tiada isu tentang sistem biometri yang terbina pada Xiaomi Poco X6 5G ini. Bahkan, pernah dalam satu keadaan saya cuba menyahkunci peranti menggunakan jari yang basah dan ia masih dapat mengesan dengan baik.


REKAAN

Jika saya perlu menggambarkan rekaan tubuh peranti ini dengan satu perkataan sahaja maka saya akan katakan bahawa rekaan tubuh Xiaomi Poco X6 ini ‘klasik’. Mungkin kerana peranti yang saya uji ini adalah berwarna Hitam dimana ia secara tidak langsung menjadikan tubuh peranti terlihat klasik serta bergaya bersama tubuh belakang yang diperbuat daripada panel kaca dengan sisi rata. Tetapi, dengan binaan ‘glossy’ pada panel belakang menjadikan tubuh peranti mudah terlihat kotor dengan kesan cap jari. Xiaomi turut menawarkan peranti ini dalam dua lagi pilihan warna iaitu warna Biru dan Putih yang masing-masing memiliki nilai kosmetik yang tersendiri.

Pada bahagian sisi kanan tubuhnya terdapat butang kuasa dan butang laras suara yang mudah dicapai dan sedap ditekan. Binaan butangnya terasa kukuh dan berkualiti. Di bahagian atas pula terdapat lubang untuk bicu audio 3.5mm manakala di bahagian bawah terbina lubang pengecas USB-C dan juga speaker.

Tubuh belakang peranti pula diperbuat daripada panel kaca yang berkilau dan menempatkan 3 bonggol kamera dimana satu daripadanya bersaiz kecil untuk lensa kamera makro, LED, dan juga penjenamaan POCO dan 64MP OIS. Sebagai pelengkap peranti dengan binaan klasik ini, ciri kalis air IP54 turut didatangkan bersama.


PENGGUNAAN DAN PERISIAN

Sistem operasi yang berperanan sebagai penggerak sistem dalaman peranti ini ialah MIUI 14 dimana ia memaparkan paparan antara muka yang kemas dan tiada masalah iklan yang menjengkelkan atau terlalu banyak aplikasi gendut dan mengarut yang sedia terpasang. Semua aplikasi yang saya mahukan dapat dimuat turun tanpa sebarang masalah dan boleh dijalankan dengan baik.

Saiz memori peranti yang saya gunakan untuk sepanjang tempoh ujian ialah 12GB RAM bersama saiz storan 512GB. Saiz memori yang tersedia adalah lebih daripada cukup untuk memuatkan ribuan keping gambar dan video serta puluhan aplikasi dapat dimuat turun daripada Play Store tanpa perlu berhadapan dengan isu ruang dan saiz memori yang tidak mencukupi. Ciri Extended RAM juga boleh dikembangkan sehingga 12GB RAM dimana secara keseluruhan terdapat 24GB RAM yang tersedia.


PENANDA ARAS

Prestasi dan keupayaan cip Snapdragon 7s Gen 2 yang dibina sebagai pelengkap kepada peranti ini turut dapat dilihat dan dinilai dengan menggunakan ujian penanda aras Antutu 3D Benchmark, Geekbench 6 dan WildLife Extreme. Berikut ialah hasil keputusan ujian penanda aras yang ditunjukkan.

Antutu 3D Benchmark

  • Xiaomi Poco X6 5G – 603,046
  • Oppo Reno 11 5G – 501,800
  • realme 11 Pro+ – 562,446
  • Honor X9b – 464,060

Geekbench 6

  • Xiaomi Poco X6 5G – 1031/2874
  • Oppo Reno 11 5G – 797/2254
  • realme 11 Pro+ – 946/2382
  • Honor X9b – 926/2786

WildLife

  • Xiaomi Poco X6 5G – 2989
  • Oppo Reno 11 5G – 2278
  • realme 11 Pro+ – tidak boleh diuji
  • Honor X9b – 2386

Sepanjang tempoh penggunaan saya telah memainkan permua beberapa kali pada peranti. Antara permua yang dimainkan ialah Call Of Duty dan Asphalt 9. Pengalaman bermain permua adalah sangat menyeronokkan kerana meskipun dengan tetapan resolusi paling tinggi, permua masih dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang isu sela masa. Tubuh peranti juga tidak terasa panas walaupun setelah 2 kali saya memainkan permua secara berturut-turut. Disebabkan oleh kelancaran paparan sepanjang permua dimainkan saya hampir saja leka memainkannya berulang-ulang tanpa jemu.


KAMERA

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 64MP, ultra sudut lebar 8MP dan makro 2MP untuk kamera makro yang terbina pada peranti ini memberikan hasil gambar dengan kualiti sederhana dan sekadar memuaskan. Ini kerana gambar pada kawasan terang memberikan hasil gambar tidak tajam dan warna sedikit pudar. Malah apabila di zum, kelembutan gambar lebih jelas kelihatan. Tetapi dari segi keterangan saya rasakan tiada masalah dalam banyak keadaan.

Hasil tangkapan pada waktu malam pula kurang memuaskan dengan hasil gambar yang terlalu lembut, pencahayaan yang agak lemah serta kesan hingar yang terlalu ketara. Walaupun dengan menggunakan tetapan mod malam, hasil gambar seolah-olah tidak memperlihatkan apa-apa perbezaan yang ketara.

Bahkan keterangan warna juga pudar dan saya rasakan gambar sedemikian harus melalui sedikit proses suntingan ringkas sebelum memuat naiknya ke media sosial. Ini kerana ketersediaan gambar untuk terus diperlihatkan di media sosial tanpa proses suntingan ringkas nampak kurang berkualiti.

Tanpa tetapan mod malam
Tetapan mod malam dihidupkan

Kamera hadapan 16MP saya rasakan boleh berfungsi dengan baik dengan hasil gambar yang masih cerah dan memperlihatkan subjek dengan jelas walaupun dalam pencahayaan malap. Walaupun tampak agak lembut dengan sedikit hingar tetapi masih boleh diklasifikasikan sebagai suatu hasil swafoto yang baik. Cuma isu warna yang pudar pada subjek dan latar belakang turut berlaku pada kamera hadapannya.


BATERI

Poco X6 5G hadir dengan kapasiti bateri sebesar 5100mAh bersama-sama dengan pengecasan turbo 67W yang boleh bertahan sepanjang hari untuk kadar penggunaan biasa seperti melayari media sosial, mendengar muzik, menonton video dan sebagainya. Pengecasan daripada 0% ke 100% mengambil masa sekitar 50 minit untuk penuh.

Walau bagaimanapun, kemampuan bateri untuk bertahan sepanjang hari adalah bergantung kepada cara penggunaan. Tempoh waktu sepanjang hari yang saya maksudkan ialah melebihi 14 jam dimana ia bertahan dari pagi sehingga malam iaitu sekitar jam 8 pagi hingga 10 malam.

Sekiranya corak penggunaan adalah ekstrem bersama dengan tetapan tertentu yang memerlukan penggunaan banyak bateri maka peranti pastinya tidak mampu untuk bertahan seharian tanpa dicas. Tetapi dengan bantuan pengecasan turbo 67W tadi, isu ini masih boleh dimaafkan.


AUDIO

Bukan sekadar ciri Doby Vision tersedia malah ciri Dolby Atmos juga dihadirkan bersama sebagai pelengkap kepada speaker peranti dimana ia memberikan pengalaman mendengar kandungan secara terus daripada speaker dengan audio yang lantang. Kelantangan audio yang diperdengarkan adalah jelas meskipun dibuka pada tingkat laras audio yang paling tinggi.

Ciri ini sekaligus memberikan pengalaman menonton video dan mendengar muzik yang menyeronokkan. Tetapi dalam beberapa keadaan saya lebih gemar mengenakan fon telinga nirwayar untuk mendengar kandungan daripada peranti. Peranti juga masih mempunyai bicu 3.5mm yang kini semakin pupus.


PERANTI PESAING

Poco X6 5GRealme 12 Pro+ 5GRealme 11 5G
6.67″ AMOLED,
68B colors, 120HZ
6.7″ AMOLED, 120Hz
1080 x 2412 pixel, HDR10+
(~394 ppi)
6.72″ IPS LCD, 120Hz
1080 x 2400 pixel
(~392 ppi)
Snapdragon 7s Gen 2 (4 nm)
4×2.40 GHz Cortex-A78
4×1.95 GHz Cortex-A55
Snapdragon 7s Gen 2 (4 nm)
4×2.40 GHz Cortex-A78
4×1.95 GHz Cortex-A55
Snapdragon 7s Gen 2 (4 nm)
4×2.40 GHz Cortex-A78
4×1.95 GHz Cortex-A55
Adreno 710Adreno 710Adreno 710
12GB RAM8/12GB RAM8GB RAM
512GB ROM128/256GB ROM256GB ROM
Kamera Utama
64MP, f/1.8 (Sudut Lebar)
8MP, f/2.2 (Ultra Lebar)
2MP, F/2.4 (Makro)
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (Utama)
8MP, f/2.2 (Ultra Lebar)
64MP f/2.8, OIS (Telefoto)
Kamera Utama
200MP, f/1.7 (Utama)
8MP, f/2.2 (Ultra Lebar)
2MP f/2.4 (Kedalaman)
Kamera Hadapan
16MP, f/2.5
Kamera Hadapan
32MP, f/2.4
Kamera Hadapan
16MP, f/2.4
IP54IP65IP54
Bicu AudioTiadaBicu audio
Audio monoAudio StereoAudio Stereo
5100mAh
Berwayar 67W
5000mAh
Berwayar 67W
5100mAh
Berwayar 67W
RM 1199 (8/256 GB)
RM 1299 (12/256 GB)
RM 1499 (12/512 GB)
RM1706* (8/128 GB)
RM1820* (8/256 GB)
RM1934* (12/256 GB)
RM1399 (8/256GB)

APA DALAM KOTAK?

  • 1x Poco X6 5G
  • 1x pengecas 67W
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Pin SIM
  • 1x kerangka silikon jenis matte warna hitam
  • 1x buku panduan

KESIMPULAN

Secara keseluruhan, Poco X6 5G adalah sebuah peranti dengan harga mampu milik dan menyediakan penawaran dari segi prestasi yang memuaskan sahaja. Skrin AMOLED dengan sokongan Dolby Vision yang mengujakan, bateri juga tahan lama serta kemampuan menggerakkan permua yang agak cemerlang lengkap dengan sistem audio padu bersama ciri Dolby Atmos yang tersedia. Poco X6 5G kini dijual dengan harga bermula RM1199 hingga RM1499.

PRO

  • Skrin AMOLED dengan sokongan Dolby Vision.
  • Prestasi lancar.
  • Kalis percikan air IP54.
  • Pengecasan 67W.

KONTRA

  • Kemampuan kamera agak lemah.
  • Tubuh mudah terlihat kotor dengan kesan cap jari.
Komen