Carian
Universal Music Group Akan Menamatkan Pelesenan Kandungan Kepada TikTok Dan TikTok Music
January 31, 2024 Aman

Universal Music Group (UMG) kini memaklumkan yang mana perjanjian mereka dengan TikTok akan tamat pada 31 Januari 2024, dan seperti tidak akan diperbaharui buat masa ini. Selari dengannya juga, UMG akan menamatkan pelesenan kandungan mereka kepada TikTok dan juga TikTok Music.

Untuk makluman, UMG merupakan pemegang label untuk sejumlah artis dan muzik, termasuk Siti Nurhaliza, Joe Flizzow, P Ramlee, Ella, Dewa 19, Taylor Swift, The Weeknd, SZA, Drake, Billie Eilish, Ariana Grande, Justin Bieber, Adele, dan Coldplay.

Melalui perkongsian UMG, mereka turut menyatakan TikTok tidak bersetuju untuk membayar nilai yang sama seperti platform sosial yang lain. Pada hari ini, UMG menyatakan pendapatan daripada TikTok hanya sekitar 1% pendapatan syarikat berkenaan.

UMG turut menyatakan TikTok bertindak membuli dengan membayar lebih rendah berbanding sebelum ini, dan pada masa yang sama membuang beberapa muzik daripada artis baharu.

Buat masa ini, TikTok tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi berkaitan perkara ini. Ia boleh dikatakan muzik memainkan salah satu peranan penting pada TikTok – dimana pada masa yang sama ramai juga yang mengenali sesuatu muzik atau lagu baharu melalui TikTok. Kita berkemungkinan melihat kedua-dua pihak berbincang lanjut dan mencapai kata setuju dalam minggu-minggu atau bulan-bulan akan datang.

Komen