Adakah gabungan teknologi dan fesyen boleh menjadi fenomena yang menarik? Jawapannya mungkin ya memandangkan terdapatnya sepasang fon telinga dengan rekaan seakan subang yang dihasilkan. Dinamakan sebagai Huawei FreeClip, ia menggunakan rekabentuk terbuka yang sepatutnya bantu pengguna untuk peka terhadap keadaan sekeliling meskipun sedang mendengar muzik. Fon telinga ini direka bersesuaian dengan telinga manusia bagi pengalaman memakai yang selesa dan stabil. Untuk lebih lanjut berikut kami kongsikan pengalaman menggunakannya.

Spesifikasi Ringkas Peranti
HUAWEI FreeClip | |
---|---|
Jenis | Fon telinga terbuka |
Pemandu | 10.8 mm |
Mikrofon | – |
Bateri | 510 mAh. 8 jam dengan fon telinga. 36 jam dengan pod pengecas. |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Ada |
CODEC | AAC/L2HC/LC3 |
Sistem operasi disokong | iOS, HarmonyOS, Windows 10 |
Sokongan pembantu maya | Ada |
Pad sesentuh | Mainkan/jeda audio. Jawab/tamatkan panggilan. Mainkan track seterusnya. |
Kemampuan kalis air | IP54 (fon telinga) |
Bluetooth | Bluetooth 5.3 |
Harga Jualan | RM899 |
Rekabentuk
FreeClip didatangkan dalam pod pengecas bersaiz kompak yang biasa digunakan pada kebanyakan fon telinga Huawei. Terdapat port USB-C di bahagian bawah untuk pengecasan, dan butang kecil di sisi bertujuan untuk melakukan tambatan bluetooth serta proses penetapan semula pada peranti baharu. Lampu LED juga disediakan dengan empat jenis warna yang menyala seperti merah untuk kehabisan bateri, hijau untuk bateri penuh, kuning untuk pengecasan semula dan putih menandakan proses tambatan sedang dilakukan.

Buka sahaja pod pengecas kami disajikan dengan sepasang fon telinga unik diperbuat daripada aloi yang cukup fleksibel. Idea yang disangka gurauan rupa-rupanya menjadi produk sebenar. FreeClip tampil unik seakan sepasang subang dengan gabungan dua bahagian penting yang meliputi Comfort Bean dan Acouctic Ball, yang kemudiannya dicantum pula menggunakan C-Bridge Design.

Melaluinya Comfort Bean diletakkan di bahagian belakang telinga, diikuti Accoustic Ball yang dimasukkan ke dalam telinga untuk pendengaran audio. Pada awalnya kami sendiri tidak tahu menggunakannya sehingga perlu merujuk video rasmi untuk kepastian. Cara penggunaan juga tidak semudah disangka, dalam masa sama menimbulkan rasa kurang yakin disebabkan rekaan yang dirasakan mudah terlucut daripada telinga.

Tetapi sebenarnya tidak ada isu pun malah selesa sahaja digunakan dengan sebaiknya, sehingga kami ada masanya terlupa untuk menanggalkannya sewaktu tidur. Hal ini disebabkan oleh pengalaman menggunakannya terasa seperti sepasang subang yang dipakai pada kedua-dua belah terlinga. Tapi jujurnya tidak semua sesuai menggunakannya khususnya lelaki yang berusia misalnya, disebabkan kelihatan benar-benar seperti sedang memakai sepasang subang di telinga.
Perisian Aplikasi
Penggunaan bersama aplikasi Huawei AI Life adalah disarankan bagi membolehkan lebih banyak ciri yang disesuaikan. Ia boleh dimuat turun menerusi Huawei App Gallery dan Apple App Store. Malang sekali pada peranti Android kami terpaksa memuat turun APK kerana aplikasi tiada dalam Play Store. Tambatan pula dibuat melalui bluetooth 5.3 yang juga menyokong sambungan dua peranti secara serentak.

Proses tambatan semudah membuka penutup pod pengecas lalu boleh disambung ke telefon pintar. Berdasarkan pengamatan kami, sambungan ke peranti Huawei lebih mudah dan boleh dikesan sekelip mata berbanding lain-lain yang ambil masa untuk pengesahan. Pelbagai tetapan turut boleh ditemui pada laman utama yang termasuk tahap bateri, kesan bunyi audio, kawalan sentuhan dan fungsi Find My Earphones. Terdapat juga penggunaan bergantung pada jenis peranti dan kelebihan sudah semestinya pada peranti Huawei. Misalnya seperti sokongan piawaian codec LH2C yang boleh meningkatkan kualiti audio sewaktu mendengar audio menggunakan peranti Huawei.

Pengguna turut diberi pilihan sama ada mahu digunakan untuk panggilan/media audio sahaja, atau kedua-duanya sekali. Diikuti pula fungsi Connection Centre bagi mengawal peranti yang disambungkan ke fon telinga, selain juga fungsi Multi Connect yang membolehkan FreeClip disambungkan ke dua peranti secara serentak serta bertukar-ganti di antara kedua-duanya dengan mudah. Seterusnya fungsi Preferred Device pula menyediakan pilihan peranti yang boleh digunakan terlebih dahulu.

Antara fungsi tambahan lain termasuklah Dymanic Latency yang boleh bertukar ke mod masa pendam rendah secara automatik sewaktu sesi permua, dan Extra Media Volume menjadikan audio lebih kuat berbanding sedia ada. Peningkatan tersebut dilihat memberi kesan terhadap kualiti audio, dan amatlah tidak disarankan sama sekali. Dengan fungsi Sound Quality, pengguna diberi pilihan sama ada mahu mementingkan kualiti audio atau sambungan, yang tentunya tidak sepenuhnya sempurna disebabkan isu lengah masa yang berlaku dalam sesetengah keadaan.
Kebolehan Audio Sharing juga diberikan untuk kebolehan sambungan dua pasang FreeClip pada telefon/tablet yang sama dengan tujuan untuk perkongsian audio. Namun perlu diingatkan bahawa ciri perkongsian audio hanya tersedia pada telefon Huawei yang menjalankan kemas kini sistem operasi EMUI 13 atau lebih baru.
Pengalaman Penggunaan
Hal yang menarik mengenai FreeClip sudah tentunya ciri Auto Left-Right Recognition yang boleh mengesan bahagian telinga yang sedang digunakan secara automatik. Ini bermakna ia boleh digunakan dengan senang-lenang tanpa risau tersilap guna antara fon telinga kanan dan kiri. Namun ianya bersyarat yang memerlukan fon telinga diletakkan kembali di dalam pod pengecas sebelum menukar kedudukan. Atau ia tidak akan ditetapkan semula, dan saluran juga akan terbalik.

FreeClip juga amatlah ringan sehinggakan langsung tidak mempengaruhi pengalaman penggunaan termasuk sewaktu bertudung. Pada masa sama melepasi IP54 yang sudah tentunya tahan percikan namun tidak boleh dibawa mandi. Perlu diingatkan juga bahawa fungsi tersebut hanya terhad pada fon telinga itu sendiri, dan bukannya pod pengecas. Selain juga dinasihatkan untuk tidak mengecas semula fon telinga ini dalam keadaan lembap, sebaliknya dinasihatkan untuk mengeringkannya terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Kawalan pula sepenuhnya menggunakan gerak isyarat ketuk satu jari di bahagian Acoustic Ball, C-bridge, atau Comfort Bean untuk kawalan yang lancar. Lebih mudahnya lagi, ia turut boleh dilakukan dengan ketukan secara perlahan di bahagian telinga yang berdekatan dengan tulang rahang untuk lebih mudah.
Secara lalai ketuk dua kali untuk main/jeda audio atau jawab/tamat panggilan. Kemudian proses mengubah senarai main pula boleh dilakukan melalui tiga kali ketukan. Gerak isyarat ini turut boleh disesuaikan untuk lebih banyak ciri yang termasuk menyeru pembantu maya. Perlu dinyatakan bahawa sistem ANC tidak diberikan yang sudah boleh dijangka untuk sepasang fon telinga terbuka.

Seterusnya tiada masalah ditemui memandangkan aplikasi boleh dimuat-turun dengan mudah pada dua peranti yang digunakan untuk ulasan (iPhone 14 dan Huawei P60 Pro). Proses muat-turun tidak mengambil masa yang lama. Proses tambatan semudah membuka penutup pod pengecas dengan syarat fungsi Bluetooth diaktifkan.
Antaramuka aplikasi nampak kemas dengan warna dominan putih dan biru, selain juga nampak sama untuk peranti Android dan iOS. Ya, seperti yang diperkatakan tadi tentunya kelebihan fungsi disediakan buat pengguna ekosistem Huawei. Mungkin bagi sesetengah orang fungsi Find My Earphones dianggap sebagai biasa yang diberikan kepada umum. Namun amatlah penting khususnya buat mereka yang cuai dalam menyimpan barangan.

Komen yang boleh diberi ialah tahap bateri untuk fon telinga kini sukar dijangka kerana digabungkan dalam satu grafik. Meskipun kedengaran bunyi ‘beep’ yang kerap dapat memberi petanda awal tentang kehabisan bateri. Namun dirasakan lebih elok seandainya tahap untuk kedua-dua fon telinga boleh dipaparkan seperti sebelum ini. Tiadanya tetapan EQ turut dianggap kekurangan ketara yang membuatkan pengguna hanya bergantung sepenuhnya pada pilihan audio disediakan.
Kualiti Audio
Memang awalnya kami agak skeptikal dan kurang yakin dengan kemampuan audio FreeClip. Ia memandangkan FreeClip merupakan fon telinga terbuka konvensional dan tidak menutup keseluruhan lubang telinga. Oleh itu kami mulai beranggapan bahawa sudah semestinya terdapat banyak kekurangan dan kepincangan disebabkan perkara itu.

Namun sebaliknya berlaku apabila wujud ‘keterujaan’ untuk terus mencuba dan kualiti audio tidaklah seteruk yang disangka. Kemampuan mid-bass memuaskan dengan dentuman yang memadai. Perkara itu agak mengejutkan untuk sepasang fon telinga terbuka sebegini. Vokal yang terhasil bagaimanapun memberi pengalaman pendengaran yang tidak konsisten.
Khususnya suara penyanyi lelaki yang kedengaran tidak neutral disebabkan bass yang berlebihan. Namun situasinya berbeza pula dengan suara penyanyi perempuan yang lebih lantang dan jelas. Treble juga tidaklah sebaik diharapkan, bahkan lebih kearah profil audio santai dan tidak begitu mengujakan. Dapat disimpulkan bahawa fon telinga ini lebih sesuai digunakan untuk mendengar muzik klasik santai, akustik dan podsiar.

Kemudiannya tidak disarankan untuk lagu berjenis pop atau rock. Fon telinga terbuka sering dikaitkan dengan masalah kebocoran bunyi tetapi perkara itu tidak berlaku pada FreeClip, yang mana rakan sekerja kami mengatakan langsung tidak mendengarnya.
Ketahanan Bateri
FreeClip diiklankan boleh bertahan dengan masa penggunaan sehingga 8 jam secara berterusan. Ia boleh meningkat 36 jam pula dengan bantuan pod pengecas. Seperti kebiasaannya ketahanan ini amatlah bergantung kepada tahap kekuatan audio. Misalnya seperti tahap audio yang tinggi kami hanya mendapat separuh daripada masa penggunaan yang diiklankan.

Ini bermakna fon telinga hanya boleh bertahan 4 jam dengan audio dimainkan dalam format AAC, pada tahap kelantangan 80% dan tetapan lalai digunakan untuk ciri lain. Kami juga menyedari fon telinga sebelah kiri kehabisan bateri lebih awal berbanding sebelah kanan. Situasi yang sama dilihat berlaku sewaktu membuat ulasan untuk FreeBuds Pro2 sebelum ini. Seterusnya sokongan pengecasan berwayar melalui port USB-C dan nirwayar Qi disediakan.
Apa Di Dalam Kotak?
- Sepasang fon telinga Huawei FreeClip
- Manual pengguna.
- Kabel pengecasan USB-C.
Kesimpulan

FreeClip boleh dijadikan pilihan menarik dalam kalangan pengguna yang sukakan fon telinga terbuka yang ringan. Ia boleh digunakan dengan selesa sebaiknya, selain juga menawarkan prestasi yang memuaskan. Terdapatnya penarafan kalis IP54 menjadikannya sesuai digunakan untuk pelbagai aktiviti luar. Pun begitu FreeClip masih tidak lari daripada kekurangan, yang sudah tentunya tidak sesuai buat mereka yang mahukan fon telinga dengan pembatalan bunyi aktif terbina. Ia dijual pada RM899 di Malaysia dan boleh dibeli melalui pengedar sah Huawei sekarang.
Kelebihan
- Ringan dan selesa digunakan sebaiknya.
- Rekaan yang lain daripada yang lain di pasaran.
- Pengecaman kanan-kiri secara automatik.
- Sokongan tambatan kepada dua peranti serentak.
- Sokongan AAC, L2HC dan LC3.
Kekurangan
- Tiada tetapan EQ.
- Kalis air hanya pada fon telinga.
- Paparan tahap bateri yang ringkas.
- Aplikasi untuk Android perlu dipasang menggunakan APK.
