NVIDIA baru-baru ini telah melancarkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 Super mereka yang memperlihatkan penaiktarafan dari segi cip pemprosesan grafik yang digunakan dan juga jumlah memori untuk mereka yang mahukan prestasi gaming yang sangat berkuasa.
Terkini, ASUS telah memperlihatkan kad grafik terbaru mereka, iaitu ASUS GeForce RTX 4080 Super Noctua Edition yang tampil menggunakan kipas penyejuk Noctua dan bongkah penyejukan yang membuatkan kad grafik ini menggunakan empat slot pengembangan PCIe yang agak besar sekali.
Dari segi spesifikasi dalaman, kad grafik ini hadir dengan kelajuan asas 2610MHz dan kelajuan lewahjam OC Mode 2640MHz. Ia juga menggunakan 16GB memori GDDR6X, jumlah memori sama dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4080 sebelum ini.
Kad grafik ini menggunakan dua kipas penyejuk Noctua NF-A12-25 120mm yang dilihat mampu mengalirkan haba daripada bongkah penyejuk kad grafik ini dengan cekap, dan ASUS juga telah mengubahsuai rekaan penyejuk daripada kad grafik ASUS TUF GeForce RTX 4080 Super untuk memuatkan kipas-kipas penyejuk ini.
Setakat ini, tanda harga kad grafik ASUS GeForce RTX 4080 Super Noctua Edition ini belum lagi diperlihatkan, tetapi ia dijangka akan hadir dengan tanda harga yang lebih mahal berbanding dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4080 Super yang asal.