Cari @ Amanz

MSI memperkenalkan penawaran konsol PC mudah-alih mereka, MSI Claw sewaktu acara CES 2024 di Las Vegas pada awal bulan ini. Terkini, MSI telah memperlihatkan tiga konfigurasi untuk MSI Claw ini yang menggunakan cip pemprosesan berbeza dan juga penawaran memori dan storan berbeza.

Menurut MSI, konsol MSI Claw ini akan hadir dengan tiga konfigurasi berbeza. Model pertama akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 5-135H dengan kelajuan maksima 4.6GHz, manakala model kedua akan menggunakan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7-155H dengan kelajuan maksima 4.8GHz. Kedua-dua model ini akan hadir dengan penawaran memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB.

Model ketiga pula akan menggunakan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7-155H yang sama seperti model kedua, tetapi akan hadir dengan penawaran memori LPDDR5 16GB dan juga storan 1TB yang lebih besar.

Tanda harga untuk ketiga-tiga variasi MSI Claw ini juga diperlihatkan. Model pertama dengan cip Intel Core Ultra 5-135H akan dijual pada harga $699, model kedua dengan Intel Core i7-155H akan dijual pada harga $749. Model ketiga dengan storan 1TB pula akan dijual pada harga $799.

Walaupun begitu, setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah MSI akan mula menjual konsol ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd