Masih ingatkah anda dengan teknologi bateri silikon-karbon dibangunkan Honor pada tahun lalu? Ia dikatakan mampu menawarkan peningkatan ketumpatan tenaga bateri berbanding bateri litium ion, meskipun dalam keadaan suhu yang mencabar. Setakat ini juga telah digunakan pada beberapa peranti seperti Honor Magic5 Pro, Magic5 Ultimate dan Magic V2.
Berkongsi lebih lanjut mengenainya teknologi itu telah memasuki generasi kedua, yang dikatakan mampu menawarkan prestasi jauh lebih baik dalam pelbagai keadaan, selain diberi peningkatan kuasa sehingga 6% lebih tinggi dalam ketumpatan tenaga bateri.
Selain itu integrasi dengan cip kendiri yang dipanggil sebagai Power Enhanced Chip Honor E1 juga memberi kesan yang positif terhadap penggunaan lebih stabil dalam pelbagai keadaan, termasuk suhu yang normal atau mencabar seperti -20°C.
Secara teorinya ia menjadi penyelesaian pintar yang menyediakan peningkatan lebih cekap dalam proses pengecasan dan urus tenaga haba pada peranti. Ini amatlah berguna untuk memastikan bateri boleh tahan lebih lama.
Seterusnya teknologi baharu itu juga telah melepasi pensijilan bateri berprestij termasuk UK Conformity Assessed Marking dan China National Accreditation Commission for conformity assessment (CNAs) yang secara tidak langsung menunjukkannya memenuhi piawaian industri secara langsung.
Untuk makluman semua teknologi ini telahpun digunakan pada peranti mercu terkini siri Magic6 mereka. Dalam masa sama turut disahkan memasuki pasaran global pada penghujung Februari kelak melalui pentas utama MWC 2024.