Cari @ Amanz

Joshua Adam Schulte telah dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun atas kesalahan meniriskan rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) ke WikiLeaks pada tahun 2017. Maklumat yang ditiriskan mendedahkan keupayaan CIA untuk mengakses peranti Android, OIS dan TV tanpa disedari oleh pemilik bagi tujuan intipan.

Beliau melakukan kesalahan semasa bertugas sebagai jurutera perisian di CIA dengan turut menyelia rangkaian Devlan yang digunakan agensi untuk pembangunan perisian. Selain mendedahkan keupayaan intipan CIA, Schulte turut meniriskan pelbagai perisian yang digunakan oleh Pusat Perisikan Siber (Center for Cyber Intelligence) CIA. Pada waktu tersebut kesemua maklumat diterbitkan oleh WikiLeaks sebagai dokumen Vault 7 dan adalah kebocoran rahsia terbesar pernah berlaku dalam sejarah CIA.

Beliau ditahan di lapangan terbang ketika cuba melarikan diri ke Mexico. Beliau didapati bersalah atas tuduhan pengintipan, menggodam komputer, menghina mahkamah, mengeluarkan kenyataan palsu kepada FBI dan pornografi bawah umur.

Schulte menjadi individu kedua dijatuhkan hukuman penjara kerana mendedahkan dokumen kepada WikiLeaks. Sebelum beliau, Chelsea Manning dijatuhkan hukuman 35 tahun penjara kerana mendedahkan jenayah perang Tentera Amerika Syarikat di Iraq, membocorkan hampir 1 juta dokumen mengenai perang Iraq serta Afghanistan dan ratusan ribu kabel diplomatik semasa bertugas sebagai pegawai risikan tentera. Beliau walau bagaimanapun dibebaskan apabila menerima pengampunan oleh Presiden Obama selepas dipenjara selama tujuh tahun.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd