Cari @ Amanz

Telegram telah memperkenalkan ciri View Once pada September 2023, namun hanya boleh digunakan untuk fail berbentuk media seperti gambar. Namun sekarang, ciri tersebut boleh digunakan untuk mesej suara dan video pula melalui kemaskini baharu.Ini bermakna mana-mana mesej dalam bentuk suara atau video yang dihantar akan dipadam secara automatik selepas dibuka sekali.

Berfungsi sama seperti sebelum ini, pengguna boleh memulakan rakaman mesej dengan mengetik ikon mikrofon. Kemudiannya leret ke atas untuk mengunci rakaman dan tekan ikon “View Once” sebelum menghantar. Dengan ini, penerima hanya akan boleh mendengar mesej suara, atau melihat mesej video yang dihantar sekali sahaja sebelum dipadam secara automatik.

Selain daripada itu, Telegram juga telah melancarkan sejumlah kemaskini penting lain, yang termasuk keupayaan menjeda dan sambung semula rakaman untuk kedua-dua mesej suara atau video. Diikuti juga fungsi carian lebih baik, dan antaramuka kenalan yang dikemaskini dengan warna serta emoji menarik.

Pengguna juga dapat melihat masa yang tepat beserta tarikh dan waktu bila mesej dihantar telah dibaca oleh penerima. Bagi pengguna premium pula, anda kini boleh menyembunyikan masa membaca tersebut, selain juga memilih siapa yang boleh menghantar mesej terlebih dahulu, sama ada semua orang atau kenalan sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd