Carian
Bersama Khairulaming – Perjalanan Setakat Ini, Produk Ke-3, Sasaran 5 Tahun
February 4, 2024 Aman

Nama Khairulaming kini telah menjadi salah satu nama yang tidak asing bagi ramai orang di Malaysia. Terkenal dengan perkongsian resipi masakan ketika bulan Ramadan, Khairulaming juga telah mula memperluaskan penawaran produk makanan seperti Sambal Nyet dan juga Dendeng Nyet Berapi.

Walaupun baru-baru ini Khairulaming berjaya menjual produk bernilai RM1 juta dalam masa hanya 3 minit 39 saat, namun perjalanan mencapainya bukan semudah itu.

Lahir pada 25 September 1992, pemuda berusia 31 tahun ini merupakan lepasan bidang kejuruteraan. Sebelum memulakan perniagaan sendiri, Khairulaming pernah bekerja dalam industri minyak dan gas selama 6 tahun. Dalam tempoh 6 tahun tersebut, Khairulaming bertugas dalam urusan import dan eksport minyak, pelbagai tugasan melibatkan logistik, kewangan, serta hal ehwal melibatkan jualan minyak. Pendedahan ini secara tidak langsung kini sangat membantu Khairulaming memulakan perniagaan, urusan kilang, dan sebagainya.

Mungkin salah satu persoalan yang menjadi pertanyaan ramai, adalah bagaimana dari bidang berkenaan, Khairulaming boleh melompat ke industri makanan. Berkongsi berkenaannya bersama Amanz, beliau menyatakan ia bukan sesuatu yang baharu, malah ibunya sendiri merupakan peniaga kuih. Khairulaming juga gemar dalam memasak, apatah lagi apabila perlu berdikari di luar negara ketika belajar. Beliau juga telah mula menceburi bidang penghasilan video sejak tingkatan 2 lagi.

Sambil bekerja dan belajar, Khairulaming pernah bereksperimen menjual beberapa produk. Salah satunya adalah Sambal King pada tahun 2017. Sambal King dihasilkan oleh Khairulaming setiap hari selepas pulang dari kerja – namun, selepas beberapa bulan, cabaran baharu mula timbul. Ketika itu, jenama “Khairulaming” tidak digunakan lagi, sebaliknya ia bernaung dibawah jenama “RasaPop”. Walaupun Sambal King berjaya terjual sebanyak 200 botol pertama, namun disebabkan penggunaan bekas plastik, ia membawa kepada kerosakkan dan pengalaman yang kurang baik kepada pelanggan. Ini terpaksa membuatkan beliau memulangkan semula semua hasil jualan kali pertama.

Namun, ini tidak menghentikan beliau daripada meneruskan Sambal King. Jenama berkenaan menjadi salah satu jenama dimana beliau bereksperimen dan mempelajari pelbagai perkara sebelum terbentuknya Sambal Nyet yang dikenali pada hari ini – dari proses pembungkusan, penjenamaan, operasi, dan sebagainya.

Bermula tahun 2018, Khairulaming memilih untuk membangunkan jenama peribadi dibawah nama “Khairulaming” – bermula dengan penghasilan kandungan resipi masakan. Format kandungan 30 hari 30 resipi ketika bulan Ramadan memberikan impak yang besar dalam pembangunan jenama beliau – dan sehingga ke hari ini, kandungan berkenaan diteruskan sepanjang bulan Ramadan, malah menjadi salah satu perkara yang dinantikan ramai orang pada bulan tersebut.

Pada usia 28 tahun, iaitu pada 2020, Khairulaming berhenti daripada bidang minyak dan gas, sekaligus mula memfokuskan kepada penghasilan kandungan secara sepenuh masa. Pada peringkat permulaan, beliau menyatakan tiada sebarang hasrat untuk menghasilkan produk dan hanya ingin memfokuskan kepada penghasilan kandungan sepenuhnya. Namun, selang sebulan selepas berhenti kerja, idea awal berkenaan produk mula dipertimbangkan. 

Pelbagai penyelidikan, kajian dan pembelajaran dilalui sejak pengenalan Sambal King pada 2018, dan hanya pada 2021, Khairulaming memperkenalkan produk Sambal Nyet kepada umum. Walaupun telah dilancarkan, Khairulaming menyatakan masih melakukan penambahbaikan sedikit demi sedikit pada produk berkenaan dari hari ke hari. Sekiranya anda pernah membeli produk Sambal Nyet pertama ketika pengenalan, dan dibandingkan dengan Sambal Nyet pada hari ini, terdapat perbezaan sedikit pada rasanya – disebabkan oleh pengoptimasian, selain mengambil kira pelbagai maklumbalas orang ramai yang menggunakan produk tersebut.

Selang 3 tahun selepas pengenalan Sambal Nyet, pada 2 Februari 2024, Khairulaming telah memperkenalkan produk kedua dibawah jenama beliau, iaitu Dendeng Nyet Berapi. Untuk produk kedua, kategori produk berbeza dipilih. Hal ini kerana beliau lebih inginkan satu produk sahaja dibawah sesuatu kategori dalam memudahkan pengguna melakukan pemilihan, dan tidak bersaing dengan produk sedia ada. Disebabkan itu, bukannya sambal hijau atau variasi sambal lain yang diperkenalkan, sebaliknya memfokuskan kepada kategori berbeza sepenuhnya. Ini juga turut membuka kepada capaian pelanggan baharu – yang mungkin tidak mengemari sambal.

Pada masa yang sama, pelbagai faktor lain turut diambil kira. Sebagai contoh, bentuk bungkusan berbeza digunakan untuk Dendeng Nyet Berapi – untuk memudahkan pengguna membawanya ke mana-mana, disamping proses pembungkusan untuk penghantaran juga tidak sesukar pembungkusan botol. Harga jualan yang ditetapkan adalah hanya dalam perbezaan RM1 dengan produk sambal sebelum ini. Walaupun kesan ekonomi membawa kepada kenaikkan harga barangan, Khairulaming cuba mengoptimasikannya dengan beberapa kaedah. Sebagai contoh, ketika harga barangan meningkat naik, Khairulaming mengekalkan harga produk dengan mengurangkan harga pada pengeluaran hasil automasi pada kilang. Jualan pertama untuk produk kedua juga sangat berjaya, apabila jualan melalui TikTok Shop berjaya mencatatkan rekod tersendiri – sebagai produk paling pantas mencapai angka jualan RM1 juta, iaitu dalam masa hanya sekitar 3 minit 39 saat.

Pada hari ini, hampir 60% jualan hadir melalui TikTok Shop, berbanding platform lain seperti Shopee. Malah, Khairulaming menyatakan pengenalan produk kedua ini dijangka menjadikan angka berkenaan mungkin meningkat mencapai 70%. Platform TikTok juga dikatakan memudahkan lagi proses jualan kerana promosi dan jualan berlaku pada platform sama – berbanding perlu menggunakan platform seperti Instagram yang dipautkan ke laman edagang lain, membawa kepada kebocoran dari segi penutupan jualan akhir.

Dengan pelancaran produk kedua ini, Khairulaming menyatakan akan memulakan proses kajian, penyelidikkan dan pembangunan untuk produk ketiga selepas bulan Raya 2024 ini. Walaupun tidak menyatakan apakah produknya, beliau sekadar menyatakan yang mana kilang beliau kini sangat dioptimasikan untuk pengeluaran produk-produk berbentuk savoury. Malah, dalam tempoh lima tahun lagi, Khairulaming berhasrat untuk membuka kilang ketiga. Sehingga kini, kedua-dua kilang adalah disewa, dan konsep sama dijangka diteruskan pada kilang ketiga kelak.

Menyentuh berkenaan hasrat lima tahun lagi juga, Khairulaming menyatakan ingin menambah dua tiga produk lagi dibawah jenama beliau. Jenama “Khairulaming” akan terus memfokuskan kepada produk-produk makanan sahaja buat masa ini, dan tiada perancangan untuk memperluaskan meliputi produk kategori lain lagi.

Khairulaming juga berhasrat untuk meluaskan pengalaman dengan menceburi bidang atau industri lain – “yang bukan pengilangan”. Antara yang disebut adalah termasuk pertanian, dan bela ikan. Namun, perkara ini dikongsikan secara berseloroh, dan belum lagi difikirkan sepenuhnya secara serius.

Walaupun memfokuskan kepada pengeluaran produk, beliau masih tidak melupakan kepada penghasilan kandungan dan pembangunan jenama. Khairulaming masih meneruskan penghasilan kandungan “30 Hari 30 Resipi” pada bulan Ramadan. Disamping itu, tahun ini beliau akan menambah konsep kandungan baharu dibawah “Memasak Sambil Travel” – dimana penggambaran untuknya telah selesai dan dijangka diterbitkan tidak lama lagi. Selain kandungan memfokuskan memasak, Khairulaming juga menyasarkan untuk hadir dengan kandungan berbentuk tips bisnes dan perniagaan – sekaligus memberikan lebih inspirasi kepada mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Kini, pada permulaan tahun 2024, syarikat yang dibangunkan bersama kakak beliau mempunyai 92 orang pekerja, dan dijangka akan terus menambah bilangan pekerja pada bulan-bulan akan datang. Selain perniagaan utama penghasilan kandungan dan produk, Khairulaming juga memenuhkan jadual tahunan dengan berkongsi pengalaman dan idea melalui sesi di universiti, serta sesi bersama anak muda yang lain, terutamanya menyentuh topik keusahawanan, perniagaan serta lain-lain.

“(Dengan jadual gini), kahwinnya, tak tau lagi”

Komen