Cari @ Amanz

Tahun ini, siri Samsung Galaxy S24 telah menjadi alternatif kepada Google Pixel untuk pasaran global. Samsung memfokuskan kepada perisian dengan membawakan ciri AI generatif yang menarik serta sokongan kemas kini sehingga 7 tahun. Baru-baru ini OnePlus di China turut mula menawarkan ciri AI generatif kepada peranti mereka.

Kemas kini ColorOS 14 baharu yang diterima OnePlus 11 dan OnePlus 12 telah membawakan tiga ciri AI generatif yang menarik. Pertama adalah AI Summariser, yang menjana transkrip panggilan telefon dengan mengeluarkan masa, lokasi dan informasi penting (versi Call Assist lebih ringkas). Kedua adalah AIGC Remover, yang boleh membuang objek tidak diingini dalam sesuatu gambar (seakan Photo Assist). Ketiga adalah Article Summariser, yang boleh meringkaskan sesuatu artikel dengan satu klik sahaja.

OnePlus turut memperkenalkan ciri seakan Circle to Search with Google melalui Breeno Touch yang boleh mencari kandungan berkenaan dengan kandungan yang terpapar pada skrin. Memandangkan ColorOS dan OxygenOS menggunakan kod binaan yang sama, tidak mustahil untuk OnePlus membawakan kemas kini yang sama kepada peranti versi global mereka.

Kini OnePlus hanya perlu menawarkan kemas kini perisian dan sekuriti sehingga 7 tahun untuk benar-benar bersaing dengan Samsung. Adakah anda akan menggunakan ciri AI OnePlus jika ia ditawarkan kepada OnePlus 11 atau OnePlus 12 anda?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd