Dalam dunia hari ini tablet dilihat mula mengubah cara kita menggunakan peranti seperti komputer riba. Ini boleh dilihat melalui penawaran saiz yang semakin besar dengan pelbagai fungsi canggih terbina. Selain juga menjimatkan ruang sambil memastikan kita boleh bekerja dengan selesa sebaik mungkin. Baru-baru ini saya diberi peluang untuk mencuba menggunakan tablet baharu Huawei MatePad Pro 13.2” baharu bagi melihat sejauh mana keupayaannya dalam proses kerja harian. Jika anda tertanya-tanya tentang kebolehannya, berikut saya kongsikan dalam artikel ulasan ini.

Spesifikasi Dan Rekaan
Huawei MatePad Pro 13.2″ | |
---|---|
Skrin | 13.2-inci, 2880 x 1920 piksel 3:2 ratio (~262 ppi density) |
Pemproses | Kirin 9000S (7nm) |
Cip | 1×2.62 GHz Taishan Big 3×2.15 GHz Taishan Mid 4×1.53GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Maleoon 910 MP4 |
RAM | 12GB RAM |
Muatan Dalaman | 256/512GB ROM |
Kamera Utama | 13MP (lebar), PDAF 8MP (ultra-lebar) 4K@30fps/1080p@30fps |
Kamera Swafoto | 16 MP, f/2.2 3D TOF 1080p@30fps |
Bateri | 10,100mAh Pengecasan berwayar 88W |
SIM/Telefoni | Tiada |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Tiada |
Harga Jualan | RM4,599 (12/256GB) RM4,999 (12/512GB) |
Rekabentuk Fizikal
Bukan sekadar tablet biasa, MatePad Pro 13.2″ kelihatan menarik dalam kelas tersendiri. Kalau diikutkan dari segi saiz adalah paling besar yang pernah dihasilkan oleh Huawei untuk segmen tablet. Kemudian senang juga digunakan disebabkan tubuhnya yang nipis dengan hanya 5.5mm dan berat sekitar 580 gram. Tetapi saya tidak mengesyorkan anda menggunakannya dengan satu tangan untuk masa yang lama kerana boleh mengakibatkan rasa lenguh pada bahagian lengan.

Seperti yang anda nampak warna hijau digunakan sebagai warna dominan di sini yang dirasakan sesuailah dengan namanya iaitu Green. Untuk anda yang lebih suka akan warna yang malar hijau boleh dapatkan MatePad Pro 13.2″ dalam pilihan Golden Black. Bingkai sepenuhnya diperbuat daripada aloi magnesium yang juga dibulatkan. Sementara itu panel berasaskan gentian kaca dengan kemasan pusam pula digunakan di bahagian belakang dan amat mudah mengumpul kotoran seperti habuk dan peluh.

Turut melengkapi panel belakang ini sudah tentunya penjenamaan Huawei yang boleh dilihat dengan warna perak. Diikuti juga modul kamera bulat yang memuatkan dua sensor kamera bersama sebuah LED Flash. Ia tidaklah begitu besar dan menonjol, dalam masa sama tidak terlalu mengganggu dek warnanya yang menyerupai tubuh.

Satu-satunya hal yang berpotensi mengganggu anda adalah takuk besar pada paparan hadapan. Seperti mana yang dapat dilihat takuk ini berada di bahagian tengah yang juga memuatkan kamera swafoto tunggal. Saya sejujurnya agak terganggu dengan takuk ini khususnya sewaktu memegang tablet secara menegak.
Keadaan ini seterusnya menyebabkan secara tidak sengaja akan menutup kamera swafoto, selain juga menghalang kandungan yang sedang dipaparkan. Keadaan ini selalu terjadi tetapi saya tetap cuba membiasakan diri, dalam masa sama perlu juga dipuji untuk saiz bezelnya yang sedap dipandang mata.

Seterusnya skrin sebesar 13.2-inci bernisbah 3:2 digunakan bersama paparan Flexible OLED beresolusi 2880 × 1920 piksel. Paparan adalah terbaik pada kadar segar semula 144Hz namun pengguna masih diberikan pilihan bertukar ke 120Hz dan 60Hz untuk penjimatan bateri. Selain turut menawarkan nisbah kontras 1,000,000:1, kemampuan paparan sehingga 1.07 billion dan kecerahan puncak 1,000nits sebagai tambahan. Terdapat juga pelindungan TÜV Rheinland Global Eye Care 3.0 bertujuan mengurangkan cahaya biru bagi melindungi mata khususnya melibatkan penggunaan dalam kawasan gelap.

Tiada isu ditemui malahan imej yang dipaparkan nampak cantik, jelas dan bermaya meskipun digunakan dalam kawasan yang terbuka. Penghasilan semula warna yang hidup boleh dilihat dengan jelas, selain juga mempunyai sudut tontonan yang baik bersama tindak balas cukup responsif. Saiz bezel yang hampir sama besar membuatkan skrin kelihatan lebih lebar dengan nisbah skrin-ke-badan boleh mencapai 94%.
Jika boleh, saya lebih menyarankan anda untuk menggunakan tablet dalam mod landskap yang pasti menjanjikan pengalaman lebih optimum lebih-lebih lagi digunakan untuk kandungan multimedia. Pun begitu anda tidak boleh menonton Netflix dalam HD penuh kerana tablet sekadar menyokong Widevine L3 yang bermakna terhad pada definisi SD sahaja.

Tiada sensor cap jari, sebaliknya sistem nyahkunci 3D menggunakan wajah bersama kaedah buka kunci konvensional seperti pin, corak dan kata laluan yang dipasang pada tablet. Disediakan juga ciri Smart Unlock yang membolehkan anda menyahkunci tablet menggunakan peranti berhubung seperti fon telinga dan jam tangan pintar.

Beralih ke bahagian sisi, butang kuasa diletakkan pada sisi kiri bersama dua pembesar suara. Diikuti juga dua lagi pembesar suara dan port USB-C pada sebelah sisi kanan. Kemudian butang laras audio pula di bahagian atas bersama tiga lubang mikrofon, selain juga menjadi ruang meletakkan M-Pencil Gen 3 bagi tujuan mengecas.

Kalau diikutkan sebanyak enam pembesar suara yang menyokong Huawei Sound disediakan dengan lontaran audio cukup kuat. Bass juga berdentum kuat dan pemisahan audio adalah baik, sekaligus menjadikan pengalaman mendengar benar-benar memuaskan. Malangnya tiada bicu audio 3.5mm membuatkan pengguna bergantung sepenuhnya dengan fon telinga nirwayar.
Tiada ruang slot SIM pula menunjukkan bahawa tablet hanya menyokong WiFi sahaja tanpa kemampuan selular. Seperkara lagi, tablet juga tidak melepasi sebarang pensijilan kalis air yang memerlukan penjagaan rapi agar tidak rosak.
Aksesori – Huawei M-Pencil Gen 3 & Smart Magnetic Keyboard
MatePad Pro 13.2″ menyokong dua aksesori utama iaitu Huawei M-Pencil Gen 3 dan Smart Magnetic Keyboard mudah alih serba baharu. Ia merupakan papan kekunci bersaiz penuh dengan ruang antara kekunci yang mencukupi untuk keselesaan. Selain juga memuatkan sebuah pad sesentuh menjadikan pengalaman menaip lancar sahaja.


Ia diletakkan secara magnetik di bahagian belakang dengan pelbagai cara penggunaan yang termasuk Laptop Form untuk pengalaman menaip seperti pada komputer riba. Diikuti juga Split Form yang membolehkan papan kekunci dan tablet diletakkan berasingan untuk pengalaman menarik lebih fleksibel. Seterusnya Studio Form memberi lebih keselesaan menggunakan MatePad Pro 13.2″ tanpa papan kekunci.

Seterusnya Huawei M-Pencil Gen 3 juga lebih baik dengan teknologi NearLink dengan kemampuan mengesan lebih 10,000 tahap tekanan.
Penanda Aras – Kirin 9000s
Semakan kami menerusi laman rasmi Huawei Malaysia, cip pemprosesan yang disenaraikan adalah Hisilicon Kirin 9000W. Namun perlu ditegaskan bahawa unit ulasan diterima ini adalah berdasarkan cip Hisilicon Kirin 9000s, yang merupakan pemproses sama digunakan pada peranti Huawei Mate 60.


Dikatakan bahawa ia dibina berasaskan teknologi 7nm, selain juga menyokong GPU Maleoon 910 MP4. Gabungan memori pula sebesar 12GB RAM dan storan dalaman 512GB yang sepatutnya lebih mencukupi untuk memastikan tablet berfungsi dengan baik. Dalam ujian penanda aras, MatePad 13.2″ dibandingkan dengan tablet lain dalam kelas setanding dan perbezaan markah seperti di bawah:
AnTuTu 3D Benchmark
- Huawei MatePad 13.2″ – 646,502
- Samsung Galaxy Tab S9 FE – 595,820
- Xiaomi Pad 6 – 657,448
Geekbench 6
- Huawei MatePad 13.2″ – 1234/4113
- Samsung Galaxy Tab S9 FE – 990/2790
- Xiaomi Pad 6 – 1293/3279
Wildlife Extreme Stress
- Huawei MatePad 13.2″ – 1,205
- Samsung Galaxy Tab S9 FE – 2,939
- Xiaomi Pad 6 – 1,227
Perisian Dan Penggunaan – HarmonyOS 4.0
Sistem operasi HarmonyOS 4.0 pada tablet menyediakan pilihan penyesuaian untuk tema, ikon serta antaramuka lebih menyeluruh. Pengguna mempunyai banyak pilihan untuk sokongan skrin kunci dan AOD. Sebagai contoh, pengguna boleh meletakkan gambar sendiri, atau menukar latar belakang dengan text dan emoji kegemaran.


Pilihan widget juga lebih banyak dengan pelbagai saiz yang boleh diletakkan pada skrin utama. Diikuti juga fungsi Panorama Wether yang membolehkan ramalan cuaca harian dengan kemas kini masa nyata diletakkan pada skrin kunci. Panel pemberitahuan dilihat lebih pintar dengan pembahagian peringatan berdasarkan keutamaan yang menunjukkan mana-mana pemberitahuan penting diletakkan di bahagian atas. Pemberitahuan lain pula mengikutinya di bahagian bawah.



Pada hemat saya secara umumnya tiada masalah ditemui sepanjang penggunaan selama hampir seminggu. MatePad Pro 13.2″ boleh berfungsi dengan baik dalam kebanyakan tugasan harian. Kebanyakan aplikasi dapat dilancarkan tanpa masalah, dan tablet terasa pantas lebih-lebih lagi dengan skrin 144Hz diaktifkan.
Masalah sela masa dan pemanasan yang melampau juga tidak berlaku sepanjang tempoh ulasan dibuat. Bermain permua Mobile Legend Bang-Bang juga menyediakan tetepan berbeza, yang mana secara lalainya ditetapkan pada High/High. Namun masih boleh diubah sehingga maksimum Ultra/Ultra yang sudah semestinya pengalaman bermain akan berubah.

Senang kata tiada komen negatif boleh diberikan untuk prestasi yang melibatkan persembahan multimedia dan tugasan harian. Kecuali isu tiadanya sokongan Google secara terbina yang memerlukan penyelesaian lain digunakan untuk memanfaatkan tablet ini. Misalnya seperti Huawei AppGallery dan Petal Search namun perlu ditegaskan bahawa kedua-duanya masih memuat turun aplikasi pihak ketiga seperti APKPure yang sudah tentunya tidak menjadi keselamatan.
Hal ini menyukarkan sesetengah pengguna yang mahukan sebuah tablet serbaguna seperti tablet Android lain. Malah terdapat juga kelemahan yang berlaku disebabkan oleh kekurangan aplikasi tertentu melaluinya seperti Alphast 9 dan Genshin Impact. Seperkara lagi saya mula perasan terdapat iklan yang muncul pada pelayar Huawei sebelum kandungan sepatutnya dipaparkan.

Kamera Dan Kualiti Gambar
MatePad Pro 13.2″ memuatkan dwi-kamera di belakang dengan 13MP (utama) + 8MP (ultra-lebar), diikuti juga kamera swafoto 16MP + 3D ToF untuk sistem nyahkunci lebih selamat. Antaramuka aplikasi menawarkan sejumlah mod kamera terbina seperti Aperature, Night, Portrait Photo, Video dan More. Diikuti juga tiga pilihan zum yang termasuk sudut lebar, 1X dan 10X. Kamera juga boleh merakam video maksimum 4K namun penstabilan EIS hanya disokong pada mod 1080P/30fps.



Kalau mengikut logik sebenarnya tidak ramai yang menggunakan kamera pada tablet untuk mengambil gambar termasuklah saya sendiri. Jelas kelihatan pelik tambahan lagi kamera pada tablet biasanya memberi hasil sekadar sederhana. Cubaan kami mendapati hasil gambar sepenuhnya bergantung pada sumber cahaya. Ini bermakna kualiti gambar memuaskan boleh diambil dengan sumber cahaya mencukupi.




Namun tidaklah begitu tajam bersama penghasilan semula warna yang sederhana dan tidak konsisten. Hingar boleh dilihat dengan jelas khususnya dalam kawasan yang gelap. Begitu juga dengan gambar ultra lebar yang juga mengalami isu sama seperti tadi. Kualiti gambar swafoto pula memberikan hasil yang lembut namun penghasilan semula warna yang bagus. Selain terdapat juga mod kecantikan terbina disediakan sekiranya perlu.

Ketahanan Bateri
Dengan bateri 10,010 mAh tablet ini boleh beroperasi dengan SOT di antara 7 – 8 jam sehati untuk penggunaan biasa seperti melayari web, menonton kandungan video dan bermain permua. Bateri turut boleh dicas semula menggunakan port USB-C dan pengecasan pantas 88W yang mengambil masa hampir satu jam. Kepala pengecas juga disediakan dalam kotak pembelian yang membawa kepada penjimaatan dalam kalangan pengguna.
Apa Di Dalam Kotak?
- 1 X Tablet HUAWEI MatePad Pro 13.2″
- 1 X Manual Pengguna.
- 1 X Kabel USB-C ke USB C.
- 1 X Pengecas Huawei SuperCharge 88W.
- 1 X Papan Kekunci.
- 1 X Huawei M-Pencil Gen 3.
Kesimpulan
Bukan sekadar tablet biasa memandangkan MatePad Pro 13.2″ lebih daripada memadai untuk kegunaan harian. Ia boleh dilihat melalui skrin besar yang terang dan jelas mudah digunakan untuk banyak perkara. Ditambah lagi prestasi memuaskan tanpa kegagalan program yang berlaku. Selain juga menyokong dua aksesori utama seperti M-Pencil Gen 3 dan Smart Magnetic Keyboard yang boleh menjadikannya seakan sebuah ‘komputer riba’.
Bateri besar dengan pengecasan pantas turut memberi nilai tambah menarik. Namun kekurangan Google terbina menjadi kekurangan yang besar pada tablet. Lebih-lebih lagi kurang aplikasi tertentu melalui gedung utama peranti menjadikan tidak semua pengguna boleh membiasakan diri dengannya. Harga jualan bermula RM4,599 (12/256GB) dan RM4,999 (12/512GB) di Malaysia.
PRO
- Rekabentuk besar dan ringan.
- Skrin cantik dan terang boleh digunakan dalam segenap senario.
- Tatalan pantas dengan skrin 144Hz.
- Gabungan pemproses dan memori berkuasa.
- Bateri besar menyokong pengecasan pantas.
KONTRA
- Takuk besar agak menganggu.
- Tiada Google terbina.
- Tidak kalis air.
- Tiada bicu audio.
- Tiada versi LTE.
