Carian
Maxis: Godaman R00TK1T Tidak Memberi Kesan Terhadap Sistem Dalaman Mereka
February 5, 2024 Nazrin

Pada bulan lepas, ia telah dilaporkan bahawa kumpulan penggodam R00TK1T mengeluarkan amaran bahawa mereka telah menggodam sistem syarikat pembangun perkhidmatan telekomunikasi Aminia Sdn Bhd, dengan menunjukkan beberapa tangkapan layar seperti laman log masuk pentadbir dan sistem bahagian belakang syarikat tersebut.

Laporan terkini daripada LowYat.net mengatakan bahawa kumpulan penggodam yang sama telah menggodam pangkalan data Maxis pula, memperlihatkan tangkapan layar untuk nombor model fizikal produk penghala WiFi Kaon AR2140 dan Kaon AR1344E yang digunakan oleh perniagaan Maxis Home dan Business Fiber dan juga Astro Broadband.

Selain daripada data mengenai produk penghala-penghala WiFi ini, ia tidak diketahui apakah data lain yang telah dicuri oleh kumpulan penggodam R00TK1T ini. Tetapi berdasarkan ugutan mereka, ia bukan satu kejutan sekiranya mereka berjaya mendapatkan data pelanggan perniagaan Maxis tersebut.

Kemaskini: Maxis baru sahaja mengeluarkan kenyataan dan mengatakan bahawa sistem dalaman mereka tidak digodam.

Walaupun begitu, mereka telah menemui bahawa terdapat kerentanan data melalui salah satu daripada penjual parti ketiga mereka, dan mensyaki bahawa isu ketirisan data yang didakwa oleh R00TK1T barangkali hadir melalui kerentanan ini. Maxis tidak menamakan syarikat tersebut, tetapi dilaporkan sedang bekerjasama untuk memperbaiki kerentanan tersebut untuk memastikan isu ini tidak berulang.

Komen