Poco tahun ini telah hadir dengan tiga peranti kelas pertengahan baharu. Dua dalam kategori premium iaitu X6 dan X6 Pro, sementara M6 dalam kategori asas. Ketiga-tiga peranti ini juga adalah telefon Xiaomi baharu pertama untuk pasaran global yang keluar kotak terus menjalankan HyperOS serba baharu. Selepas menggunakan X6 Pro untuk beberapa minggu, saya boleh katakan yang Poco semakin hiper dengan HyperOS.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Poco X6 Pro | |
---|---|
Skrin | 6.67″ CrystalRes 1.5K Flow AMOLED DotDisplay, 2712 × 1220, 446 PPI, 1800nits, 120HzAdaptiveSync, Dolby Vision |
Pemproses | Dimensity 8300-Ultra (4nm) |
Cip | 1x 3.35 GHz Cortex-A715 3x 3.20 GHz Cortex-A715 4x 2.20 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Mali G615-MC6 |
RAM | 8/12 GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 64 MP, OIS, f/1.7 (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar) 2 MP, f/2.4 (Makro) |
Kamera Depan | 16 MP, f/2.4 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 67W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | IP54 |
Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM1499 (8/256 GB) RM1699 (12/512 GB) |
Seperti biasa, peranti baharu Poco sebenarnya adalah Redmi yang dijenamakan semula sahaja. Untuk X6 Pro, peranti sebenarnya adalah Redmi K70E yang dilancarkan di China November tahun lepas. Ia menggunakan skrin AMOLED jenis rata dengan bezel nipis, sokongan kadar segar semula 120Hz, paparan Dolby Vision dan kecerahan mencapai 1800 nits.
Kedua-dua butang fizikal peranti berada di sisi kiri. Sensor infra merah, kekisi speaker dan lubang mikrofon berada di atas. Sementara satu lagi lubang mikrofon, kekisi speaker, port USB-C dan slot kad SIM berada di bawah. Keseluruhan sisi peranti ini rata dengan panel belakang yang sedikit melengkung memudahkan peranti ini untuk dikendalikan dengan satu tangan. Ia juga tidak begitu licin sehingga saya berani menggunakan peranti ini tanpa kerangka pelindung.
Belakang peranti terdapat bonggol kamera gergasi mirip dengan generasi lepas. Kemasan yang digunakan pada warna hitam adalah jenis berkilat yang mudah menangkap kotoran cap jari. Tetapi jika anda mendapatkan warna kuning, kemasan dengan cengkaman tambahan akan diberikan.
SKRIN
Sudah bertahun peranti kelas pertengahan Xiaomi menawarkan skrin berkualiti. Panel AMOLED yang cantik dan terang, boleh memainkan video Dolby Vision dan HDR10+, serta kadar segar semula adaptif yang dikawal oleh perisian. Masalah skrin Poco ini adalah video 1440p atau 2160p apabila dimainkan di YouTube kerap tersangkut seakan memori peranti tidak cukup untuk memproses video.
Kecerahan tiada masalah, amat terang di bawah cahaya matahari. Begitu juga dengan kadar segar semula 120Hz. Tetapi agak mengecewakan yang mod adaptif 120Hz pada peranti ini tidak cukup bijak, kerana kebanyakan masa saya kerap menerima 90Hz dan 120Hz berbanding 60Hz atau lebih rendah. Ini memberi kesan kepada jangka hayat bateri.
SISTEM BIOMETRI
Poco X6 Pro menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal yang cukup pantas. Malah Xiaomi HyperOS turut didatangkan dengan ciri Face Unlock AI yang cukup pantas mengimbas wajah pengguna dengan kamera hadapan.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN – HyperOS, Android 14
Saya amat teruja apabila mendengar, Poco X6 Pro adalah antara peranti Xiaomi terawal untuk pasaran Malaysia menerima HyperOS. Selepas menggunakannya untuk beberapa minggu, saya mula rasa kecewa kerana Xiaomi masih enggan memberikan pengalaman penggunaan yang sama antara versi China dan global.
HyperOS pada Poco X6 Pro ini masih mempunyai banyak persamaan dengan MIUI 14. Perbezaan paling ketara hanya boleh dilihat oleh pengguna setia MIUI sahaja. Rekaan antaramuka mempunyai perubahan kecil dengan ia kini lebih mendekati iOS berbanding biasa.
Peranti ini membawakan prestasi yang baik dan lancar. Pergerakan animasi semuanya pantas, pengurusan memori juga cukup bagus. Lagi-lagi dengan sokongan memori maya sehingga 8GB yang membolehkan banyak aplikasi berjalan di latar tanpa mengorbankan prestasi dan bateri. Ciri suntingan AI seakan Photo Assist pada Galaxy AI dalam siri Galaxy S24 pun turut diberikan. Cuma ia masih tidak cukup kemas.
Satu kemas kini HyperOS baharu yang saya gemari adalah kustomasi kunci skrin yang menarik. Tema jam kemudiannya turut boleh dipadankan kepada AOD. Tetapi, apa yang masih menjengkelkan adalah kebanyakan kustomasi bergantung kepada gedung tema yang menjengkelkan. Saya sukakan pilihan seperti One UI, di mana koleksi di dalam peranti dan di dalam gedung tema tersusun rapi agar mudah untuk pengguna melakukan pilihan.
Perkara yang paling saya tidak boleh maafkan adalah jumlah iklan yang menjengkelkan. Saya faham yang Poco adalah peranti kelas pertengahan dan dijual pada harga mampu milik, tetapi video iklan bersaiz hampir penuh satu skrin dalam Game Turbo adalah perkara yang melampau.
PRESTASI DAN PENANDA ARAS – Dimensity 8300-Ultra
Cip Dimensity 8300-Ultra adalah cip yang lebih kurang dengan Dimensity 7200 Ultra. cuma ia lebih efisien dan mempunyai kemampuan GPU yang sedikit lebih tinggi. Ini bermakna, Redmi Note 13 Pro+ peranti yang memfokuskan kamera dan Poco X6 Pro adalah peranti yang memfokuskan prestasi. Ujian penanda aras juga biasa sahaja, kerana pengalaman penggunaan sebenar di dunia nyata membuatkan saya rasa berpuas hati.
Geekbench 6
- Poco X6 Pro – 1311/4033
- Redmi Note 13 Pro+ 5G – 1127/2658
- Oppo Reno11 Pro 5G – 934/3389
- realme GT3 240W – 1446/3940
Antutu 3D
- Poco X6 Pro – 1,199,162
- Redmi Note 13 Pro+ 5G – 757,180
- Oppo Reno11 Pro 5G – 937,938
- realme GT3 240W – 1,249,785
3DMark Wild Life Xtreme
- Poco X6 Pro – 2,053/12.30 FPS
- Redmi Note 13 Pro+ 5G – tidak boleh diuji
- Oppo Reno11 Pro 5G – 1748
- realme GT3 240W – 2798 / 16.76 FPS
3DMark Solar Bay
- Poco X6 Pro – 3,366/12.80 FPS
- Redmi Note 13 Pro+ 5G – tidak boleh diuji
- Oppo Reno11 Pro 5G – tidak disokong
- realme GT3 240W – tidak disokong
Seperti Redmi Note 13 Pro+ yang membuatkan saya terkejut kerana sangat memuaskan, Poco X6 Pro juga sama. Bermain permua grafik tinggi seperti Call Of Duty Mobile akan dapat prestasi yang terbaik tanpa masalah lengah masa dan peranti memanas. Ia jauh lebih lancar berbanding Redmi.
TELEFONI DAN GPS
Usah risau, kali ini Poco X6 Pro tiada isu dengan tarik line atau line tak kuat. Sepanjang penggunaan saya di sekitar Kuala Lumpur, 5G dengan Maxis sentiasa dapat dengan kelajuan yang baik serta sambungan yang stabil. Sementara di kawasan kampung di Seremban, 4G+ dengan VoLTE amat membantu. Sokongan GPS hanya pada awal penggunaan ada masalah lokasi mengambil masa yang lama untuk dikunci. Tetapi selepas dua-tiga destinasi, ia beroperasi dengan baik.
KAMERA
Menggunakan Poco X6 Pro, anda sepatutnya sebelum membeli sudah boleh menjangkakan yang apa yang anda bayar itulah apa yang anda dapat. Kamera 64MP adalah sensor yang baik, tetapi HyperOS pada peranti ini tidak mempunyai algoritma sehebat Xiaomi 13T untuk memproses imej Leica. Poco X6 Pro masih mempunyai masalah mod AI, tidak memberikan kualiti yang konsisten. Butiran pada setiap mod rakaman juga banyak yang tidak dipelihara dengan baik dan agak lembut. Mod malam adalah hasil yang paling saya tidak boleh maafkan kerana penuh dengan hingar.
AUDIO
Sama seperti Redmi Note 13 Pro+, speaker stereo Dolby Atmos pada Poco X6 Pro adalah baik-baik sahaja. Ia tidak sempurna seperti bass yang tidak memuaskan dan kelantangan yang sederhana. Tetapi audio yang dihasilkan adalah seimbang dan untuk peranti kelas ini saya tidak boleh mengadu dan mengeluh lebih.
BATERI
Saya tidak pasti sama ada HyperOS atau Dimensity, tetapi Poco X6 Pro ini tidak mempunyai ketahanan bateri yang bagus. Saya menjangkakan peranti ini bokeh mempunyai jangka hayat bateri seperti kebanyakan peranti Poco dan Redmi yang lain iaitu sekitar 6-7 jam SOT. Tetapi dalam penggunaan saya yang berat, saya hanya menerima sekitar 4 jam SOT sementara penggunaan ringan sekitar 5-6 jam SOT.
Peranti ini menyokong pengecasan pantas 67W Turbo Charge, yang boleh mengecas peranti dari 0% ke 100% kurang 50 minit. Saya tiada masalah dengan bateri Poco X6 Pro, tetapi peminat Poco dan Redmi pasti akan kecewa.
PESAING
Poco X6 Pro | Redmi Note 13 Pro+ 5G | Oppo Reno11 Pro 5G |
6.67-inci CrystalRes AMOLED, 1.5K, 120Hz, 1800 nits, Dollby Vision, Gorilla Glass 5 | 6.67-inci CrystalRes AMOLED, 1.5K, 120Hz, 1800 nits, Dollby Vision, Gorilla Glass Victus | 6.7-inci AMOLED, FHD+, 120Hz, 800 nits, HDR10+, Asahi Glass AGC |
Dimensity 8300-Ultra (4nm) 4x 3.35GHz Coretx-A715 4x 2.2 GHz Cortex-A510 | Dimensity 7200-Ultra (4nm) 2x 2.8 GHz Cortex-A715 6x 2.0 GHz Cortex-A510 | Dimensity 8200 (4nm) 1x Cortex-A78, 3.1GHz 3x Cortex-A78, 3.0GHz 4x Cortex-A55, 2.0GHz |
Mali G615-MC6 | Mali-G610 MC4 | Mali-G610 MC6 |
8/12 GB LPDDR5X | 8/12 GB LPDRR5X | 12GB |
256/512 GB UFS 4.0 | 256/512 GB UFS 4.0 | 512GB |
Kamera Utama 64 MP, OIS, f/1.7 (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar) 2 MP, f/2.4 (Makro) | Kamera Utama 200 MP, OIS, f/1.65 (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar) 2 MP, f/2.4 (Makro) | Kamera Utama 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 32MP f/2.0 (Ultra Sudut lebar) 8MP f/2.2 (Sudut Ultra Lebar) |
Kamera Hadapan 16 MP, f/2.4 | Kamera Hadapan 16 Megapixel f/2.5 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.4 |
IP54 | IP68 | Tidak kalis air |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 67W) | 5000 mAh (Berwayar 120W) | 4600 mAh (Berwayar 80W) |
RM1499 (8/256 GB) RM1699 (12/512 GB) | RM1599 (8/256 GB) RM1999 (12/512 GB) | RM2499 (12/512 GB) |
APA ADA DALAM KOTAK?
Berikut adalah apa yang anda terima dengan setiap pembelian Poco X6 Pro;
- 1x Poco X6 Pro.
- 1x Pengecas 67W Turbo Charge,
- 1x Kabel A ke C.
- 1x Kerangka pelindung silikon hitam tebal.
- 1x Pin SIM.
- 1x Set buku panduan dan keselamatan.
KESIMPULAN
Tidak dinafikan yang dengan HyperOS, Poco mejadi semakin hiper. Peranti X6 Pro ini memberi prestasi yang memuaskan dengan ciri kustomasi yang menarik. Kehadiran iklan masih sukar dimaafkan, tetapi untuk harga jualan yang menarik ia satu pengorbanan yang tiada pilihan. Kualiti kamera turut boleh diterima, ketahanan bateri sedikit mengecewakan dan rekaan peranti walaupun nampak bosan – bahan binaannya rasa mewah. Dengan harga jualan bermula RM1499, X6 Pro adalah peranti prestasi yang terbaik. Jika anda mahukan kemampuan kamera lebih baik, dengan tambahan RM100 lagi anda boleh dapatkan Redmi Note 13 Pro+ dengan kamera 200MP.
PRO
- Prestasi HyperOS yang menarik dengan ciri kustomasi yang unik.
- Kemampuan kamera yang boleh diterima.
- Skrin terbaik untuk peranti kelas pertengahan premium.
- Bahan binaan yang premium.
- Harga jualan yang menarik perhatian.
KONTRA
- HyperOS masih penuh dengan iklan.
- Ciri AI tidak sama dengan HyperOS China.
- Rekaan yang nampak bosan.
- Ketahanan bateri yang tidak memuaskan.
- Tiada IP68 seperti siri Redmi Note 13 dalam lingkungan harga sama.