Babak yang diingati penonton filem The Dark Knight ialah apabila kereta Tumber Batman mengalami kerosakan ditembak oleh Joker, ia berubah menjadi motosikal Batpood. Kenderaan dalam filem Christopher Nolan ini adalah fiksyen tetapi di India, Surge S32 EV ialah beca bermotor dengan kemampuan yang sama.
Dalam mod biasa, Surge S32 EV ialah beca bermotor tiga roda yang boleh membawa muatan kecil yang digunakan petani dan sebagai teksi India. Rekaannya seperti “auto rickshaw” yang amat popular di negara tersebut. Bahagian lori S32 EV dilengkapi bateri 11 kWj yang membolehkan ia mengangkat kargo sehingga 500kg dan mencapai kelajuan maksimum 50 kmj.
Kemudian bahagian hadapan S32 EV boleh dibuka dan ia berubah menjadi skuter elektrik dua roda dengan bateri 3.5 kWj yang boleh bergerak pada kelajuan maksimum 60 kmj. Dengan motor dan bateri yang berbeza, pemilik S32 EV tidak perlu risau tentang tahap pengecasan bateri selepas habis bekerja di penghujung hari. Motor elektrik pada skuter juga tidak akan mengalami kerosakan kerana tidak digunakan untuk mengangkat kargo.
Pengeluar Surge S32 EV, Hero Moto Corp menyasarkan kenderaan elektrik ini akan dijual bermula 2025 tetapi harga masih belum diumumkan setakat ini.