Carian
Elden Ring Dikatakan Bakal Hadir Ke Telefon Pintar
February 6, 2024 Effi Saharudin

Adakah anda bersedia untuk “git gud” pada peranti pintar mudah alih? Sekiranya suka diri dicabar sehingga mengamuk, permainan popular Elden Ring ini kelak akan ditawarkan dalam bentuk permua. Menurut laporan Reuters, Tencent diberikan lesen untuk membangun Elden Ring versi telefon pintar.

Tidak seperti versi PC dan konsol, versi permua adalah percuma untuk dimuat turun dengan pendapatan akan dijana menerusi pembelian dalam aplikasi. Elden Ring adalah antara permainan paling popular tahun 2022 dengan jualan sudah mencecah 20 juta salinan sejak dilancarkan. Ia memenangi beberapa anugerah walaupun boleh membuatkan pemainnya mengamuk kerana tahap kesukarannya yang tinggi.

Sekiranya ura-ura menjadi benar, Elden Ring akan sebuah lagi permainan hanya di konsol serta PC yang ditawarkan juga pada peranti mudah alih. Call of Duty, Diablo dan PUBG adalah antara siri lain yang berjaya mencatatkan jumlah pemain yang tinggi walaupun dalam versi permua. Apakah pula permainan konsol atau PC yang anda mahu versi permuanya dihasilkan?

Komen