Illegear, jenama pembuat PC tempatan baru-baru ini telah memperkenalkan kemaskini kepada model komputer riba kelas premium mereka, iaitu Illegear Sapphire dengan memperlihatkan penggunaan cip pemprosesan Intel generasi ke-14 Raptor Lake Refresh.
Dinamakan Illegear Sapphire GX, komputer riba gaming ini tampil dengan paparan skrin IPS bersaiz 17 inci dengan resolusi 2560×1600. Ia juga tampil dengan nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi dan mempunyai kadar segar semula 240Hz dan nilai kecerahan 350 nits.
Ia dikuasakan oleh satu pilihan cip pemprosesan, iaitu Intel Core i9-14900HX dan juga memori dwi-saluran DDR5 sebanyak 16GB dan juga storan SSD sebesar 500GB, yang mana kedua-duanya boleh dinaiktarafkan oleh pengguna sendiri jika mereka mahukan.
Dari segi penawaran kad grafik pula, ia dilengkapi dengan tiga pilihan kad grafik, iaitu NVIDIA GeForce RTX 4070, NVIDIA GeForce RTX 4080 dan juga NVIDIA GeForce RTX 4090, bergantung kepada keperluan dan kemampuan anda.
Anda boleh mengubahsuai tetapan dalaman komputer riba ini dan membeli komputer riba Illntegear Sapphire GX ini melalui laman web mereka. Konfigurasi paling mampu milik komputer riba ini dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 pada harga RM10,199, manakala model yang dilengkapi dengan NVIDIA GeForce RTX 4090 dijual pada harga RM15,698.
Untuk mereka yang pra-tempah komputer riba ini dari sekarang sehingga penghujung bulan Februari 2024, anda boleh menerima rebat tunai 5 peratus untuk mendapatkan komputer riba ini pada tanda harga yang lebih mampu milik.