Carian
Ulasan ASUS ROG Raikiri Pro – Tiada Lagi Alasan Untuk Kalah
March 19, 2024 Nazrin

ASUS, jenama gaming yang terkenal untuk siri komputer riba, komponen komputer dan juga pelbagai aksesori gaming juga memperlihatkan pelbagai perkakasan gaming yang sangat menarik.

Baru-baru ini, kami telah diberi peluang untuk menguji salah satu daripada alat kawalan permainan terbaru mereka, iaitu ASUS ROG Raikiri Pro yang diperkenalkan untuk mereka yang mahukan pengalaman gaming dengan alat kawalan permainan kategori premium.

Rekaan Dan Spesifikasi

Secara asasnya, alat kawalan ASUS ROG Raikiri Pro tampil dengan rekaan yang hampir menyerupai alat kawalan Xbox tetapi dengan beberapa perbezaan yang memberikan Raikiri Pro rupa dan juga fungsi yang unik.

Dari segi susun atur butang, tidak banyak yang berbeza dengan alat kawalan Xbox, tetapi ia tampil dengan empat butang tambahan di bahagian belakang, dan dua suis tambahan yang boleh mengubah tahap kedalaman butang picu LT dan RT untuk membolehkannya hadir dengan tekanan picu cetek ataupun lebih dalam.

Satu lagi penambahan yang diperlihatkan pada ROG Raikiri Pro berbanding dengan alat kawalan gaming yang lain ialah paparan skrin OLED kecil yang boleh digunakan untuk memperlihatkan hayat bateri dan corak-corak yang boleh ditambahkan untuk menjadikan alat kawalan ini lebih menarik.

Jujur saya katakan bahawa selain daripada melihat jangka hayat bateri, panel OLED tersebut tidak memberikan sebarang penambahbaikan pada alat kawalan ini. Mungkin sekiranya alat kawalan ini boleh disambungkan kepada beberapa peranti komputer ataupun konsol sekaligus, kegunaannya akan meningkat sedikit, tetapi sayangnya fungsi ini tidak hadir pada alat kawalan ini, jadi fungsinya agak terhad.

Ya, beberapa tetapan juga boleh ditukar secara terus melalui paparan OLED ini, tetapi pada pendapat saya ia lebih mudah dilakukan melalui perisian Armory Crate berbanding dengan paparan ini.

Saya juga mempunyai sedikit isu dengan corak butang ABYX yang digunakan pada alat kawalan ini. Pada harga yang dijual, saya mengharapkan bahawa butang-butang ini sekurang-kurangnya hadir dengan rekaan yang lebih ikonik dan mempunyai pencahayaan latar. Bagi saya, rekaan butang ABYX ini kelihatan seperti ia hampir pudar kerana digunakan untuk jangka masa yang lama.

Satu aspek yang saya suka mengenai alat kawalan Raikiri Pro ini ialah permukaan dua tona yang digunakan. Permukaan atas adalah licin dan sangat selesa dipegang, manakala di bahagian belakang, tekstur kasar memastikan bahawa ia tidak tergelincir dan terlepas dari tangan anda sewaktu sesi gaming yang berjam lamanya.

Pengalaman Pengguna

Bermula dengan pengalaman menggunakan Raikiri Pro ini untuk pertama kalinya, saya menjangkakan bahawa pemasangan alat kawalan ini boleh dilakukan dengan mudah secara terus. Sayangnya perkara ini hanya benar sekiranya anda menggunakan sambungan kabel USB Type-C, dan sekiranya anda mahu memasangnya menggunakan sambungan Bluetooth ataupun penyuai WiFi, anda perlu memasang perisian Armory Crate terlebih dahulu.

Akan tetapi, setelah sambungan ditetapkan, Raikiri Pro ini berfungsi sebagai alat kawalan yang sangat selesa dan mempunyai masa pendam input yang sangat rendah sekali. Saya menggunakan alat kawalan ini dengan permainan-permainan komputer seperti Granblue Fantasy Relink dan permainan platformer seperti Cuphead dan mendapati bahawa tiada isu masa pendam tidak kira jenis sambungan yang digunakan, samada Bluetooth, WiFi ataupun sambungan berwayar.

Bercakap mengenai sambungan berwayar, fungsi palam audio 3.5mm yang ada pada alat kawalan ini juga hanya boleh diaktifkan apabila anda menyambungkan Raikiri Pro ini kepada komputer ataupun konsol dengan kabel USB Type-C. Perkara ini agak pelik untuk saya kerana alat kawalan lain seperti Sony DualSense, malah DualShock 4 boleh menyambungkan audio konsol/PC ke alat kawalan melalui sambungan Bluetooth.

Alat kawalan ini juga mempunyai beberapa empat pilihan profil berbeza yang mana anda boleh ubahsuai tetapannya melalui perisian Armory Crate. Anda boleh mengubah tetapan butang dan juga sensitiviti pengaktifan butang picu sekiranya anda mahu.

Anda juga boleh menukar profil Raikiri Pro dan juga memperlihatkan tetapan-tetapan lain melalui paparan OLED terbina, tetapi jujur seperti yang saya katakan sebelum ini, untuk saya, saya hanya menggunakan paparan OLED ini untuk memperlihatkan jangka hayat bateri.

Bercakap mengenai bateri, jangka hayat bateri ROG Raikiri Pro ini dianggarkan sekitar 13 jam apabila dimainkan secara berterusan menggunakan sambungan Bluetooth ataupun WiFi dan dengan pencahayaan RGB dipasangkan.

Jangka hayat bateri ini akan meningkat ke sekitar 30 jam apabila sistem pencahayaan tersebut tidak digunakan, jadi jika anda seorang yang malas mahu mengecas alat kawalan anda, ROG Raikiri Pro, ini adalah alat kawalan permainan nirwayar yang paling sesuai untuk anda.

Pengalaman saya menggunakan ROG Raikiri Pro ini sebagai alat kawalan permainan nirwayar rata-rata adalah sangat baik sekali. Sambungan kepada komputer adalah sangat pantas tidak kira sama ada anda menggunakan sambungan Bluetooth mahupun WiFi.

Untuk menjimatkan bateri dengan lebih cekap, anda boleh menetapkan alat kawalan ini untuk dimatikan selepas seminit atau dua selepas ia tidak digunakan. Ia juga boleh dicas dengan agak pantas menggunakan kabel USB Type-C yang disambungkan kepada komputer ataupun pengecas secara mudah.

Apa Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang ditawarkan di dalam kotak alat kawalan permainan komputer ASUS ROG Raikiri Pro

  • 1x ASUS ROG Raikiri Pro
  • 1x Kabel Pengecasan USB Type-C
  • 1x penyesuai sambungan WiFi

Penutup

Tidak dinafikan bahawa ASUS ROG Raikiri Pro mempunyai beberapa ciri-ciri dan kelebihan yang menjadikannya sebuah alat kawalan permainan video yang premium. Akan tetapi, dari pelbagai ciri-ciri ini, hanya dua atau tiga ciri sahaja yang saya akan katakan adalah sesuatu yang akan digunakan setiap kali saya menggunakan alat kawalan ini.

Genggaman yang selesa, butang-butang yang mudah diakses, jangka hayat bateri panjang dan sambungan kepada komputer yang cepat adalah ciri-ciri yang baik sekali, tetapi ia juga mempunyai isu-isunya yang tersendiri.

Satu ciri yang saya masih rasa sangat aneh diperlihatkan ialah palam audio 3.5mm terbina hanya boleh digunakan apabila alat kawalan ini di dalam mod berwayar. Alat kawalan permainan DualShock 4 dan DualSense sudahpun boleh melakukan perkara ini dalam mod sambungan nirwayar tanpa masalah.

Pada tanda harga yang diminta, iaitu RM698, ia adalah agak sukar untuk saya mengesyorkan alat kawalan ini apabila anda mempunyai pilihan lain seperti Sony DualSense Edge dan juga Xbox Elite Wireless 2 yang tampil dengan lebih banyak ciri-ciri yang lebih berguna dan boleh dimanfaatkan.

Pro:

  • Rekaan yang cantik
  • Butang picu boleh dilaraskan
  • Sambungan nirwayar pantas
  • Tiada masa pendam pada input
  • Jangka hayat bateri yang panjang

Kontra:

  • Tanda harga mahal
  • Paparan OLED yang jarang digunakan
  • Palam audio 3.5mm hanya boleh digunakan dalam mod sambungan kabel
  • Corak butang yang mengecewakan
Komen