Cari @ Amanz

WhatsApp turut menjadi sasaran kerajaan Eropah, kerana dianggap menjadi perkhidmatan pemesejan dengan ekosistem tertutup. Di bawah akta European Union’s Digital Markets Act (DMA), Meta perlu menjadikan WhatsApp aplikasi pemesejan yang turut boleh hantar dan terima secara rentas-platform.

Tahun lepas, WABetaInfo ada berkongsi tangkapan layar Third-party chats yang sedang diuji. Menurut pengarah jurutera WhatsApp, Dick Brouwer dalam temuramah bersama Wired – sasaran mereka adalah membenarkan perkhidmatan pemesejan pihak ketiga menghantar teks, imej, video, mesej suara dan fail terus ke WhatsApp dan WhatsApp turut boleh melakukan perkara sama.

Brouwer berkongsi yang jika pemesejan pihak ketiga seperti iMessage, RCS, Telegram, Signal dan lain-lain ingin dihubungkan ke WhatsApp setiap aplikasi ini perlu menuruti piawaian Signal Protocol untuk menyulitkan mesej. Meta turut menerima piawaian lain asalkan ia menepati syarat sekuriti WhatsApp dan setiap platform pemesejan ini turut perlu menandatangani kontrak bersama Meta.

Buat masa ini masih tidak tahu, bila Meta akan menawarkan WhatsApp yang menyokong rentas-platform ini. Adakah ia seperti Messenger di mana mesej SMS pun boleh diterima atau seperti Beeper yang menawarkan pelbagai platform pemesejan di dalam satu aplikasi? Kemudian adakah ciri ini terhad untuk pengguna di Eropah atau semua pengguna kelak dapat menggunakannya? DMA memberikan Meta sehingga Mac 2024 untuk hadir dengan jalan penyelesaian. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd