Kemaskini kepada salah sebuah komputer riba gaming kelas premium padat daripada ASUS ROG, iaitu ASUS ROG Zephyrus G14 kini sudahpun tiba di pasaran tempatan.
Tampil dengan paparan skrin ROG Nebula Display OLED 14″ dengan resolusi 2880×1800 dengan kadar segar semula 120Hz, paparan ini mampu mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan mempunyai nilai kecerahan 500 nit dan menyokong teknologi DisplayHDR True Black 500.

Dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 9 8945HS, komputer riba ini juga dimuatkan dengan pilihan memori DDR5 16/32GB dan storan SSD PCIe 4.0 512GB/1TB bergantung kepada konfigurasi kad grafik yang dipilih.
Bercakap mengenai itu, komputer riba ini tampil dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 ataupun NVIDIA GeForce RTX 4050 yang boleh dimuatkan dalam rangka aluminum yang hadir dengan rekaan serba baru untuk memastikan komputer riba ini boleh memuatkan komponen-komponen berkuasa ini dan juga sistem penyejukan yang diperlukan untuk memastikan ianya sentiasa berfungsi pada kadar yang optima.

Rekaan yang lebih padat ini membolehkan papan kekunci komputer riba ini kelihatan lebih besar, pad sesentuh yang lebih mudah digunakan, disamping memuatkan pembesar suara yang lebih kuat juga. Satu perubahan baru yang dapat diperlihatkan pada komputer riba ini juga ialah penggunaan pencahayaan ROG Slash Lighting Array yang menggantikan sistem pencahayaan AniMe Matrix pada model-model sebelum ini.
Dari segi input dan output, komputer riba ini tampil dengan satu palam USB-4 Type-C, satu palam USB 3.2 Type-C, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu pembaca kad MicroSD dan satu palam audio. Ia juga dilengkapi dengan bateri 73Wh yang menjanjikan jangkahayat bateri yang agak panjang.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer riba ASUS ROG Zephyrus G14 sudahpun hadir di pasaran Malaysia dengan dua pilihan konfigurasi. Pertama ialah model dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 dan memori 32GB dan storan 1TB pada harga RM8999. Model kedua pula dilengkapi kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4050 dan memori 16GB dan storan 512GB pada harga RM7999.
Kedua-dua model ini hadir dalam pilihan warna Eclipse Gray dan Platinum White.