Selain daripada komputer riba gaming premium ASUS ROG Zephyrus G14, ASUS Malaysia juga telah mengesahkan bahawa siri komputer riba gaming kelas pertengahan ASUS TUF Gaming A15 (2024) akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.

Untuk model ini, ASUS Malaysia akan memperlihatkan tiga penawaran berbeza. Kesemua komputer riba hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 15.6 inci dengan pilihan resolusi QHD 2560×1440 dan kadar segar semula 165Hz ataupun Full HD (1920×1080) dengan kadar segar semula 144Hz. Kedua-dua paparan ini tampil dengan kebolehan untuk memaparkan 100 peratus gamut warna sRGB.

Kesemua model ASUS TUF Gaming A15 ini tampil dengan penawaran memori DDR5 16GB dan juga storan SSD 1TB. Dari segi kad grafik pula, ASUS membawa masuk dua model yang akan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 dan satu model dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060.
Dari segi sokongan palam, komputer riba ini dimuatkan dengan satu palam USB-4 Type-C yang menyokong teknologi DisplayPort 1.4, dua palam USB 3.2 Type-C, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1 FRL, satu palam audio dan satu palam LAN RJ-45.

Tiga model ASUS TUF Gaming A15 2024 yang akan dibawa masuk oleh ASUS Malaysia pada penghujung Februari 2024 ini adalah seperti berikut:
- ASUS TUF Gaming A15 (RTX 4070, 16GB, 1TB, QHD 165Hz) – RM6999
- ASUS TUF Gaming A15 (RTX 4070, 16GB, 1TB, FHD 144Hz) – RM6799
- ASUS TUF Gaming A15 (RTX 4060, 16GB, 1TB, FHD 144Hz) – RM6499