Kita tahu Apple akan menawarkan ciri AI generatif pada iOS 18, kerana kemas kini akan menjadi terbesar dalam sejarah mereka. Baru-baru ini penyelidik Apple bersama University of California, Santa Barbara telah hadir dengan satu model bahasa raya yang boleh menyunting imej dengan prom yang ringkas.
MGIE, atau MLLM-Guided Image Editing adalah AI dengan teknologi MLLM (multimodal large language model). Ia dilatih untuk mempunyai kemampuan menyunting seakan Photoshop, meningkatkan kualiti imej, suntingan ringkas atau yang kompleks hanya dengan prom ringkas. Misalnya, masukkan prom “langit lebih biru” – bahagian langit dalam gambar akan lebih terang dan menjadi lebih biru. Ada gambar piza, masukkan prom “jadikan lebih sihat” – daging-daging pada piza tadi akan diubah dengan sayuran.
Contoh lain yang kaji selidik ini tunjukkan adalah, gambar yang gelap boleh diterangkan atau objek mengganggu di latar boleh dibuang dengan teks ringkas. MGIE berfungsi dengan menganalisa gambar yang diberikan pengguna, kemudian mengikut prom yang diterima ia akan membayangkan bagaimana hasil akan terjadi.
MGIE boleh diakses di GitHub atau Hugging Face untuk dicuba oleh para pembangun. Kaji selidik ini tidak mendedahkan apakah perancangan Apple untuknya. Adakah ia akan menjadi ciri di dalam iOS atau sekadar ujian awal untuk projek masa hadapan.