Anda tahu syarikat Panic Inc.? Jika anda aktif dalam dunia permainan video, anda mungkin akan mengenali mereka melalui permainan video Untitled Goose Games. Tahun 2019, konsol mudah alih Playdate telah diumumkan. Apa yang menjadikan konsol ini menarik adalah, ia dihasilkan di kilang Malaysia yang terletak di Kedah.
Selain itu, apa yang unik dengan Playdate adalah ia konsol pertama yang menyertakan alat kawalan menggunakan engkol (crank). Konsol ini turut memfokuskan kepada permainan indie dengan alat pembangunan Pulp serta gedung permainan Catelog. Terbaru, selepas bertahun mencari jalan penyelesaian menjual Playdate di Malaysia, Panic besar kemungkinan akan menjualnya bermula 13 Februari ini.
Buat masa ini, perkara ini masih tidak rasmi. Wakil Playdate memberitahu kami melalui emel yang mereka sedang cuba sedaya upaya untuk membawakan konsol buatan Malaysia ini ke pasaran tempatan. Konsol ini menggunakan skrin monokrom kontras tinggi 400 × 240 piksel 1-bit tanpa sebarang lampu latar (backlight), bermakna ia hanya boleh dimainkan di bawah cahaya yang terang.
Playdate hadir dengan butang kawalan arah, dua butang A dan B, engkol kawalan serta butang kuasa. Ia turut mempunyai sokongan Bluetooth dan WiFi, speaker mono, mikrofon, memori 16MB RAM dan 4GB storan dalaman, dijana cip 168 MHz Cortex M7 dan bateri 8 jam dengan pengecasan USB-C.
Dengan setiap pembelian, dua permainan rasmi Playdate akan diberikan percuma setiap minggu selama 12 minggu. Jika tidak mahu tunggu, permainan percuma atau berbayar ada disertakan dalam Catalog. Harga jualan di Amerika Syarikat adalah $199 iaitu sekitar RM948. Tidak pasti adakah 13 Februari tarikh tepat konsol ini akan dijual dan berapa pula harganya nanti. Dengan Nintendo Switch sudah dikira sebagai konsol mudah alih mampu milik, adakah anda berminat dengan Playdate yang lebih unik ini?