Cari @ Amanz

Jika anda seorang pengguna sistem operasi berasaskan Linux seperti Ubuntu ataupun Manjaro, arahan antaramuka baris perintah (CLI) “sudo” pastinya sesuatu yang anda sudah biasa gunakan setiap hari. Terkini, ia dilaporkan bahawa Microsoft akan membawa arahan tersebut ke Windows 11 tidak lama lagi.

Sudo ataupun nama singkatan untuk arahan “super user do” adalah arahan pertama yang digunakan untuk membolehkan pengguna untuk mengakses arahan yang secara lazimnya hanya boleh diakses oleh pentadbir akaun secara terus daripada akaun pengguna.

Untuk komputer riba syarikat korporat, ini membolehkan pentadbir mengakses arahan-arahan tertentu tanpa perlu melog masuk kedalam akaun mereka dan mempercepatkan tugasan yang perlu dilakukan.

Arahan sudo ini sedang diuji didalam Windows 11 Insider Preview Build 26052 dan boleh diakses melalui menu Settings, dibawah sub-menu System > For Developers. Apabila suis Enable Sudo diaktifkan, pengguna kemudiannya boleh mengkonfigurasi bagaimana arahan sudo ini akan berfungsi.

Tiga pilihan diberikan, dimana selepas arahan sudo digunakan, sebuah menu CLI baru akan dibuka untuk membezakan menu CLI biasa dan juga menu arahan sudo. Pilihan kedua ialah arahan sudo akan beroperasi dalam menu yang sama, tetapi dengan stdin (standard input) dimatikan. Ini adalah untuk arahan sudo yang tidak memerlukan input daripada pengguna, dan mengehadkan pengguna kepada beberapa arahan sudo sahaja.

Ketiga ialah pilihan inline, dimana input sudo akan diperlihatkan dalam menu CLI sama seperti menu pengguna, yang paling menyerupai bagaimana sudo digunakan didalam Linux. Microsoft menyarankan anda memahami dahulu bagaimana arahan sudo ini berfungsi sebelum anda mengaktifkan ciri ini.

Buat masa ini, ciri ini hanya diperlihatkan pada program Windows Insider terbaru sahaja, tetapi dijangka akan diperkenalkan pada kemaskini besar Windows 11 di masa akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd