2024 merupakan tahun di mana prestasi perkomputeran dilihat meningkat dengan kadar yang sangat hebat, didorongi oleh penggunaan teknologi kecerdasan buatan yang lebih meluas oleh segenap lapisan masyarakat.
Selari dengan ini, kami mahu memberi beberapa cadangan komputer riba pada harga sekitar RM2500-RM2800 untuk kegunaan produktiviti di menara gading, khususnya para pelajar jurusan IT dan pengaturcaraan. Komputer-komputer riba yang dipilih ini ditawarkan oleh jenama-jenama IT di pasaran tempatan.
Acer Swift Go 14 (AMD) – RM2699
Acer Swift Go 14 (AMD) ialah di antara komputer riba padat di dalam senarai ini, dimana ia hadir dengan paparan skrin bersaiz 14.0 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 60Hz. Ia dikuasakan oleh dua pilihan cip, iaitu AMD Ryzen 7 7730U ataupun AMD Ryzen 5 7530U dan dipadankan dengan memori 8GB dan storan 512GB.

Jika anda mempunyai poket yang lebih dalam, anda juga boleh memilih untuk mendapatkan model yang hadir dengan 16GB RAM, membolehkan anda memanfaatkan ciri kecerdasan CoPilot yang akan diperkenalkan oleh Microsoft secara terus pada sistem operasi Windows 11 kelak.
Dalam pada itu, Acer Swift Go 14 ini juga tampil dengan pelbagai ciri baru seperti penggunaan palam USB4 untuk kadar penghantaran data yang lebih pantas dan juga sokongan untuk sambungan internet WiFi 6E dan juga jangka hayat bateri yang panjang.
ASUS Vivobook 15 (Intel) – RM2499
ASUS ialah sebuah jenama yang tidak asing lagi apabila bercakap mengenai kepelbagaian penawaran komputer riba. Untuk tujuan artikel ini, saranan kami ialah untuk anda dapatkan komputer riba ASUS Vivobook 15 yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-12 Alder Lake.

Ya, terdapat model dengan cip pemprosesan Intel generasi ke-13 yang lebih baru, tetapi di antara sebab mengapa kami menyarankan anda mendapatkan model satu generasi lebih tua ialah kerana model dengan cip Intel generasi ke-12 hadir dengan jumlah RAM yang lebih banyak (16GB berbanding 8GB pada model lebih baru) dan juga tanda harga yang lebih murah.
Komputer riba ini juga masih lagi tampil dengan palam-palam seperti USB 3.2, HDMI 1.4 dan juga sokongan untuk sambungan internet WiFi 6 dan juga Bluetooth 5.3 yang masih lagi digunakan hari ini.
Illegear Atomic 14 (Intel) – RM2699
Illegear ialah sebuah jenama komputer riba tempatan yang dikenali untuk penawaran komputer riba kelas gaming mereka. Tetapi Illegear juga dilihat telah mempelbagaikan penawaran komputer riba mereka dan telah memperkenalkan beberapa penawaran kelas produktiviti.

Illegear Atomic 14 ialah komputer riba terbaik mereka didalam kelas produktiviti. Sama seperti Acer Swift Go 14, ia dilengkapi dengan paparan skrin 14 inci dan resolusi Full HD. Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i5-12450H dengan memori DDR5 sebanyak 4GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebanyak 500GB.
Untuk komponen memori, jika anda membeli komputer riba ini sewaktu promosi Tahun Baru Cina, anda boleh mendapatkan naik taraf percuma ke memori 8GB, dan malah, jika anda tidak berkira untuk berbelanja lebih sedikit, ia boleh dinaiktarafkan lagi ke 16GB ataupun 32GB jika anda mahu.
Dalam pada itu, harga yang dipaparkan boleh direndahkan lagi sekiranya komputer riba ini dibeli secara tunai, menjadikannya lebih murah lagi.
MSI Modern 15 (AMD) – RM2799
MSI Modern 15 merupakan sebuah komputer riba produktiviti yang dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan AMD Ryzen, dan tampil dengan pilihan model AMD Ryzen 7 7730U ataupun AMD Ryzen 57530U dan 8GB RAM bersama dengan storan SSD 512GB.

Ia turut dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD, paparan ini cukup besar untuk memperlihatkan antaramuka perisian pengaturcaraan dengan selesa, dan sekiranya anda masih memahukan paparan yang lebih besar, anda boleh menyambungkan komputer riba ini ke paparan tersebut melalui palam HDMI terbina tanpa masalah.
Dengan berat 1.3kg sahaja, komputer riba MSI Modern 15 ini juga mudah dibawa kemana-mana dan dengan bateri 37.3Wh, mempunyai jangka hayat bateri 5-6 jam dengan pengecasan penuh yang membolehkan anda menjadi produktif tidak kira dimana anda berada.
Lenovo V15 Gen4 (Intel) – RM2541
Lenovo V15 Gen4 ialah sebuah lagi komputer riba yang tidak begitu menonjol, tetapi tampil dengan komponen berkuasa yang serba baru dan sangat berguna untuk tujuan praktikal, khususnya untuk produktiviti pelajar.

Komputer riba ini hadir dengan beberapa konfigurasi, tetapi apa yang kami sarankan anda pilih ialah cip pemprosesan Intel Core i5-13420H, penaiktarafan memori ke 16GB DDR4, storan SSD 512GB PCIe4 dan penaiktarafan paparan IPS 15.6 inci berbanding dengan paparan TN.
Anda juga boleh memilih untuk menggunakan cip pemprosesan Intel Core-U generasi ke-13, tetapi walaupun ia tampil dengan penggunaan kuasa yang lebih cekap, kos pembelian komputer riba ini akan meningkat dengan mendadak apabila dibandingkan dengan cip pemprosesan Intel Core-H.