Cari @ Amanz

Dulu telefon boleh mempunyai bateri yang bertahan berhari-hari lamanya, sekarang sehari sekali perlu dicas. Kemudian muncul pula jam tangan pintar, kini kaca mata pintar pula kembali menjadi trend dan akan datang anda mungkin perlu mengecas anting-anting pula kerana versi pintar telah dibangunkan.

The Thermal Earring adalah anting-anting pintar yang dibangunkan oleh University of Washington. Ia dikatakan mempunyai prestasi lebih hebat berbanding jam tangan pintar dalam mengesan suhu kulit serta dengan bateri bertahan sehingga 28 hari. Ia menggunakan sambungan Bluetooth kuasa rendah dan dicas melalui solar atau tenaga kinetik.

Sensor merekod data melalui cuping telinga secara berterusan. Ia dikatakan turut boleh menjejak tekanan, demam, senaman, tabiat makan, serta trend kesihatan. The Thermal Earring turut boleh diubahsuai oleh pengguna seperti menambah aksesori resin atau batu permata.

Anting-anting ini masih berada di dalam fasa prototaip. Ia menyasarkan pengguna wanita, tetapi produk akhir untuk orang ramai masih belum ditentukan. Adakah ia akan hadir secara sepasang satu pintar satu dungu? Adakah bahan binaannya mesra kulit semua orang? Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd