Dengan ura-ura mengenai masa depan Xbox mula bertebaran di media sosial minggu lalu, Xbox kini mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan sebuah episod khas Official Xbox Podcast pada 15 Februari ini. Pada acara ini pelbagai persoalan mengenai rancangan Xbox akan akhirnya dirungkai sendiri oleh Microsoft.
Hari ini sudah muncul laporan di The Verge bahawa Hi-Fi Rush dan Pentiment akan menjadi dua permainan eksklusif Xbox yang akan ditawarkan ke PlayStation 5. Kemudian di penghujung tahun, Sea of Thieves pula akan menjadi permainan ketiga yang ditawarkan. Terdapat ura-ura mengatakan Starfield dan Indiana Jones juga akan ditawarkan ke konsol
Penawaran permainan eksklusif Xbox ke konsol lain menerima reaksi negatif daripada peminat tegar yang merasakan diri mereka dikhianati. Hakikatnya ialah kos pembangunan permainan moden khususnya AAA adalah terlalu mahal untuk ia dihadkan ke satu konsol sahaja. Sony sendiri telah mula menawarkan permainan PlayStation ke PC sejak dua tahun kebelakangan ini atas sebab yang sama.
Sebagai insan yang tidak pernah memiliki konsol Xbox kerana ia tidak pernah ditawarkan secara rasmi di Malaysia, jika ura-ura ini menjadi kenyataan ia adalah sangat dialu-alukan.